
KULAI: Kementerian Komunikasi berharap penyedia platform media sosial, Meta dapat melaksanakan sekatan tambahan ke atas pengguna di bawah umur 18 tahun secara global dan tidak hanya terhad di Amerika Syarikat (AS).
Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, langkah berkenaan wajar dilaksana selari dengan usaha Malaysia yang kini dalam proses menguatkuasakan sekatan akses media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.
Katanya, antara sekatan baharu yang bakal diperkenalkan Meta termasuklah menghentikan ciri yang boleh menimbulkan ketagihan seperti infinite scroll, auto feed, serta menyembunyikan bilangan tanda like.
“Meta akan hentikan infinite scroll kerana itu salah satu ciri yang menyebabkan ketagihan. Selain itu, Meta turut berjanji akan menyembunyikan bilangan like serta menetapkan had masa penggunaan harian dan sekatan akses pada waktu malam bagi pengguna bawah 18 tahun,” katanya selepas mengadakan tinjauan kerosakan gelanggang futsal Taman Desa, di sini hari ini.
Bulan lalu, Mahkamah Rayuan AS membenarkan ribuan saman terhadap Meta, Google, TikTok dan Snapchat diteruskan berhubung tuduhan ia menyebabkan pengguna muda ketagihan media sosial.
Mahkamah Rayuan AS yang berpusat di San Francisco turut menolak rayuan Meta dan TikTok untuk membatalkan keputusan mahkamah rendah yang mengarahkan mereka menghadapi lebih 3,000 saman difailkan di Mahkamah Persekutuan, dengan menyatakan syarikat itu membuat rayuan terlalu awal.
Mengulas lanjut, Nie Ching memberi jaminan bahawa golongan remaja masih boleh mengakses platform media sosial tersebut, namun menerusi kawalan serta had penggunaan yang lebih ketat demi keselamatan mereka.-UTUSAN
The post Malaysia mahu Meta perluas sekatan remaja secara global appeared first on Utusan Malaysia.

