
KUALA LUMPUR - Malaysia selaku selaku Pengerusi ASEAN 2025 berikrar untuk menjadikan rantau ini aman, stabil dan makmur.
Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting bagi memastikan semua negara serantau dapat bergerak seiring ke hadapan.
Menurut beliau, kepentingan hubungan akrab dengan pelbagai negara perlu ditekankan kerana ia adalah kunci utama untuk mewujudkan keutuhan hubungan diplomatik, sekali gus membolehkan ia berhadapan pelbagai cabaran global yang dinamik.
Aspirasi berkenaan dikongsikan sewaktu beliau menerima kunjungan Pengerusi Eksekutif International Institute of Strategic Studies Asia (IISS-Asia), Sir John Miguel Warwick Chipman di Putrajaya, semalam.
“Hal ehwal geo-strategik serantau terkait keselamatan secara menyeluruh merangkumi aspek pertahanan, ekonomi, sosial, tenaga, kecerdasan buatan, pusat data serta keselamatan siber antara yang dibincangkan sewaktu kunjungan hormat Sir John Miguel Warwick Chipman, di pejabat saya semalam.
“Dalam pertemuan itu, Sir John Chipman menyatakan kekaguman akan peranan Malaysia dalam menyuarakan kepentingan sejagat serta ketegasan dalam hal-hal terkait situasi di Asia Barat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelas Anwar, IISS-Asia melihat peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 amat penting, malah hala tuju yang digerakkan pada tahun ini memberikan impak bukan sahaja kepada rantau Asia Pasifik, tetapi turut mendapat perhatian dunia.
“Malaysia turut diundang untuk berperanan dalam IISS Manama Dialogue 2025 pada Oktober kelak.
“Sir John Chipman turut memanjangkan undangan IISS-Asia kepada saya untuk memberikan ucapan khas sewaktu Shangri-La Dialogue 2025 yang akan mengambil tempat pada 31 Mei 2025 kelak di Singapura,” katanya.
Perdana Menteri memberitahu, semua undangan berkenaan merupakan spenghargaan kepada negara.
“Ia menterjemah pengiktirafan dunia terhadap peranan penting Malaysia, sekali gus suatu penghargaan ini merupakan suatu bentuk kejayaan Malaysia yang dihormati dunia,” katanya. - Getaran, 5 April 2025

