Malaysia mampu jadi hab kekayaan serantau jana RM10.7 bilion melalui pejabat keluarga tunggal – Juwai IQI

07/10/2025 - 13:08
FOREST City di Johor antara lokasi utama penubuhan pejabat keluarga tunggal di Malaysia - Gambar hiasan Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 7 Okt – Malaysia berpotensi menjana sehingga RM10.7 bilion manfaat ekonomi menerusi pelbagai pakej insentif cukai yang menyasarkan penubuhan banyak pejabat keluarga tunggal (SFO).
Bagaimanapun menurut Ketua Global Wealth Office Juwai IQI, Haroon Anwar, insentif sahaja tidak mencukupi dan kejayaan Malaysia sebagai hab kekayaan serantau bergantung kepada tiga faktor utama.
Antaranya tambah beliau, ialah kestabilan dasar, kredibiliti pasaran, dan kematangan ekosistem kewangan sebelum berpeluang menarik SFO baharu dan berskala kecil, khususnya dari Asia Tenggara.
“Pejabat keluarga tidak hanya mencari pelepasan cukai, malah mereka mencari kestabilan, kejelasan peraturan, dan persekitaran yang menyokong pelaburan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.
Haroon menjelaskan, komitmen Malaysia sejajar dengan unjuran pertumbuhan SFO di benua Asia sebanyak 40% dalam tempoh lima tahun, meningkat daripada cuma 2,290 pada 2024 kepada 3,200 menjelang 2030.
Hartono Family Office di Jakarta mengurus RM88 bilion aset, tetapi Malaysia menyasarkan firma kecil yang mengurus RM30 juta ke atas, lebih rendah daripada ambang minimum di Hong Kong dan Dubai.
Padahal katanya, Malaysia menawarkan kelebihan kos operasi dan insentif cukai kompetitif termasuk sifar sehingga 20 tahun serta pelepasan duti setem dan cukai keuntungan modal (CGT) satu kali.
"Situasi ini sebenarnya sudah meletakkan Malaysia dalam kedudukan unik bagi menarik banyak SFO berskala sederhana yang dapat menyumbang kepada aktiviti perkhidmatan kewangan,” jelas Haroon lagi.
Setiap SFO yang ditubuhkan di Malaysia diwajibkan membelanjakan sekurang-kurangnya RM500,000 setahun dalam ekonomi tempatan, yang dijangka menjana secara langsung kepada pertumbuhan pekerjaan.
Malaysia juga menawarkan visa khas untuk pakar kewangan antarabangsa serta rancangan pembangunan infrastruktur gaya hidup seperti di Forest City, Johor untuk meningkatkan daya tarikan lokasi.
Artikel berkaitan: Malaysia wartakan peraturan cukai pendapatan Single Family Office, sasar AUM RM2 bilion

Namun begitu, Haroon menegaskan kejayaan jangka panjang Malaysia sebagai hab kekayaan bergantung kepada tindakan dalam tiga aspek utama termasuk kestabilan polisi dan peraturan kerajaan sendiri.
"Ini perlu dasar jelas berkaitan percukaian, perwarisan, struktur amanah dan urus tadbir kekayaan antara generasi serta elak perubahan mengejut yang boleh menggugat keyakinan pelabur," katanya.
Malaysia tambah beliau, perlu menghasilkan kes kajian kejayaan dan memperkukuh rangkaian penasihat bertaraf dunia untuk mempromosi negara ini sebagai destinasi SFO yang selamat dan menguntungkan.
Pada masa sama katanya, ketersediaan bakat, produk pasaran modal khusus untuk SFO, capaian pasaran, gaya hidup berkualiti dan infrastruktur digital bagi menarik ramai profesional pengurusan kekayaan.
Haroon percaya Malaysia boleh mencipta keunikan tersendiri sebagai destinasi utama SFO berskala kecil dan sederhana di Asia jika komitmen ekosistem, kredibiliti, dan kestabilan dasar dibaiki.
“Dengan langkah susulan tepat, Malaysia bukan sahaja boleh bersaing dengan Hong Kong atau Dubai, malah membawa masuk pelaburan dan manfaat ekonomi berbilion ringgit,” tambahnya. - DagangNews.com
standard
