
KUALA LUMPUR, 22 JUN: Malaysia masih mampu menampung kesan gangguan perdagangan di Selat Hormuz melalui penyesuaian rantaian bekalan, penyerapan kos oleh firma serta langkah dasar kerajaan yang membantu mengehadkan pemindahan kos kepada harga domestik, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias gangguan tersebut, namun keadaan terus dipantau rapi dan diurus secara berterusan menerusi langkah intervensi awal kerajaan.
"Kerajaan kekal komited dan keutamaan adalah melindungi rakyat, memastikan bekalan asas kekal stabil, membantu industri terus beroperasi dan mengukuhkan daya tahan ekonomi negara," katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Dr Richard Rapu @ Aman Anak Begri (GPS-Betong), Datuk Seri Utama Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) dan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai impak penutupan Selat Hormuz terhadap ekonomi dan perdagangan Malaysia.
Menurut Akmal Nasrullah, asas ekonomi negara kekal berdaya tahan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.
“Kerajaan telah menggerakkan langkah intervensi melalui empat kluster utama termasuk perlindungan rakyat serta penstabilan bekalan dan harga bagi memastikan bekalan asas kekal mencukupi, membantu industri terus beroperasi dan mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
"Selain itu, kerajaan melaksanakan pemantauan harian ke atas bekalan dan harga barangan keperluan. Penyelarasan turut dibuat bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan pemain industri bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara, di samping mempelbagaikan sumber bekalan bahan mentah," katanya.
Beliau berkata kerajaan turut memperkukuh bantuan dan subsidi bersasar bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), BUDI MADANI RON95 (BUDI95), BUDI MADANI Diesel, Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi serta bantuan kepada golongan rentan.
Dalam konteks Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau berkata tumpuan kerajaan bukan sekadar menguruskan krisis semasa tetapi memastikan ekonomi negara lebih bersedia menghadapi kejutan global pada masa hadapan melalui usaha memperkukuh diversifikasi perdagangan dan pelaburan.
"Langkah ini penting supaya negara mempunyai pilihan bekalan yang lebih luas sekiranya gangguan global berpanjangan," katanya.
Akmal Nasrullah berkata kerajaan tidak menganggap risiko ekonomi global telah berakhir sepenuhnya walaupun terdapat perkembangan diplomatik yang lebih positif di peringkat antarabangsa.





