
Malaysia Masih Kaji Guna Nuklear Sebagai Tenaga Di Masa Depan, Keputusan Dibuat Selepas 2030
Malaysia sedang mengkaji potensi untuk menjadi nuklear salah satu sumber untuk membekalkan tenaga kepada negara di masa hadapan.
Kajian untuk melihat potensi penjanaan tenaga berasaskan teknologi nuklear itu didorong oleh beberapa faktor seperti sumber gas asli yang semakin berkurang dan permintaan tenaga bersih yang semakin meningkat.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang bagaimanapun berkata, kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu setakat ini.
“Keputusan itu masih jauh lagi. Maksudnya, kita sekarang baru hendak meneroka kemungkinan, seterusnya melihat kepada reaktor modular skala kecil dan bukannya kepada reaktor skala konvensional.
“Tetapi kita belum lagi sampai ke tahap itu (buat keputusan) kerana kita masih membuat kajian. Kita belum sampai lagi ke tahap seperti mencari lokasi untuk reaktor dan sebagainya.
“Untuk berlaku adil, kita belum lagi sampai ke tahap membuat keputusan sama ada hendak atau tidak tenaga nuklear,” katanya.
Sebaliknya, perkara tersebut hanya akan diputuskan selepas 2030 seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebelum ini.
Keputusan itu juga bergantung kepada hasil kajian yang dijalankan oleh MOSTI bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
“Setakat ini, kita ada satu jawatankuasa bersama dengan PETRA dan MOSTI semestinya adalah sebahagian daripada jawatan kuasa tersebut.
“MOSTI memainkan tiga peranan penting dalam jawatankuasa ini iaitu melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (RND), pembangunan bakat dan melaksanakan kawal selia.
“Untuk RND & pembangunan bakat berada di bawah tanggungjawab Agensi Nuklear Malaysia, manakala kawal selia terletak di bawah Jabatan Tenaga Atom,” katanya.
Tambah Lih Kang, teknologi penjanaan tenaga berasaskan teknologi nuklear juga dikawal selia dengan ketat dan perlu mematuhi piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
“Sebab itulah tidak perlu bimbang dan baru-baru ini kita juga sudah meminda Akta Tenaga Atom. Dalam akta itu kita telah memasukkan persediaan untuk kita meneroka kemungkinan penjanaan kuasa menggunakan nuklear,” katanya lagi.
Selain itu, Malaysia juga sudah mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi nuklear melalui pengoperasian reaktor penyelidikan nuklear, TRIGA PUSPATI sejak 1982.
“Kita ada kepakaran yang mengcukupi. Tetapi sudah tentu kita sentiasa peka dengan perkembangan antarabangsa. IAEA juga menghantar wakil ke fasiliti kita untuk melakukan pemeriksaan berkala,” katanya.
Beliau hadir menyertai Program Media Showcase bersama agensi media di Kompleks Utama Agensi Nuklear Malaysia di Bangi yang berlangsung hari ini.
Turut hadir dalam program tersebut adalah Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin.
The post Malaysia Masih Kaji Guna Nuklear Sebagai Tenaga Di Masa Depan, Keputusan Dibuat Selepas 2030 appeared first on Siakap Keli.




