Malaysia mesti cipta, miliki dan kuasai teknologi sendiri - Anwar

LocalTechnology
7 Sep 2026 • 12:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia mesti cipta, miliki dan kuasai teknologi sendiri - Anwar
Lih Kang menyampaikan piala pusingan kepada Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026, Piala Pusingan YAB Perdana Menteri yang diadakan di IKN pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Image from: Malaysia mesti cipta, miliki dan kuasai teknologi sendiri - Anwar
Lih Kang bergambar dengan pemenang pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026, Piala Pusingan YAB Perdana Menteri yang diadakan di IKN pada Isnin. Foto: SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Malaysia tidak boleh selama-lamanya menjadi pengguna teknologi yang dicipta negara lain, sebaliknya perlu berupaya mencipta, memiliki dan menguasai teknologi sendiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara kini berada pada satu titik penting dalam perjalanan pembangunan dengan menguasai bidang sains dan teknologi.

Menurut beliau, pendidikan sains tidak boleh terhenti pada hafalan formula serta pencapaian peperiksaan, tetapi mesti membentuk kaedah berfikir yang kritikal terhadap fakta, terbuka terhadap idea, berani mencuba dan jujur.

“Soal keterjaminan makanan, bekalan tenaga, kesihatan awam, keselamatan air, perubahan iklim dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab menuntut ilmu yang kukuh serta keberanian membuat keputusan berasaskan bukti.

“Namun, setiap cabaran juga merupakan peluang untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Segala penyelesaian besar bermula dengan persoalan kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pertandingan Akhir Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri di Institut Kesihatan Negara (NIH), di sini pada Isnin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih Kang.

**media[3639138]**

Anwar berkata, negara memerlukan elemen daya cipta, keyakinan dan ihsan agar kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring dengan nilai kemanusiaan.

“Sains tanpa ihsan boleh menjadi dingin; inovasi tanpa integriti boleh menjadi berbahaya; dan ilmu tanpa keberanian hanya akan tinggal dalam laporan,” katanya lagi.

Beliau berkata, jumlah pendaftaran murid dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) perlu dipertingkatkan berikutan penyertaan dalam sains tulen masih sekitar 15.8 peratus.

“Ini menunjukkan masih terdapat jurang antara minat terhadap STEM dengan kesediaan untuk mendalaminya.

“Dalam usaha ini, guru memainkan peranan yang amat besar, bukan sekadar penyampai ilmu, tetapi pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda,” katanya.

Data Kementerian Pendidikan merekodkan pendaftaran murid dalam STEM meningkat daripada 40.95 peratus pada 2021 kepada 50.83 peratus pada 2024.

Tambah Anwar, Malaysia memerlukan lebih ramai bakat STEM bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

“Sebab itu kita mesti terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri mahupun syarikat pemula.

“Kita mahu idea yang lahir di sekolah hari ini berkembang menjadi penyelidikan, teknologi, inovasi dan perusahaan yang mampu menyelesaikan masalah sebenar rakyat serta mengangkat daya saing Malaysia di peringkat dunia,” ujar beliau.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved