Malaysia Mohon Bantuan Turkiye, Evakuasi 23 Aktivis 2 Hari Lagi - PM

3 Oct 2025 • 4:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri (tengah) ketika ditemui media semasa melawat gerai makan di Bazaria Pantai hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan secara agresif bagi membawa pulang kesemua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis ketika ini. 

Getaran difahamkan, kesemua aktivis berkenaan yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla telah dipindahkan dari Pelabuhan Ashdod ke Penjara Ktzi’ot di Gurun Negev.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah meminta bantuan rakan karibnya iaitu Presiden Tukiye, Recep Tayyip Erdogan berhubung hal itu.

Jelas Anwar, beliau merayu secara langsung kepada Erdogan agar membantu mempermudah urusan evakusi kesemua sukarelawan.

“Proses evakuasi sukarelawan kita dijangka berlaku dalam tempoh dua hari akan datang.

“Saya memohon Erdogan agar memastikan keselamatan perjalanan keluar mereka daripada tahanan Israel,” katanya.

image is not available
Antara sukarelawan misi GSF yang ditahan tentera Zionis

Perdana Menteri memberitahu, Erdogan telah diminta membawa semua aktivis Malaysia ke mana-mana pintu sempadan, sebelum menuju ke Istanbul. 

“Dari Istanbul, kita akan uruskan kepulangan mereka ke Malaysia,” katanya.

Difahamkan, kesemua 23 rakyat Malaysia tersebut dijangka berlepas dari Israel menaiki pesawat sama dinaiki warganegara Turkiye, yang turut ditahan tentera Zionis ketika sedang berlayar. 

Ditanya apakah beliau ada menghubungi Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Anwar menegaskan, tidak ada keperluan untuk berbuat demikian.

“Malaysia tidak ada dan tidak pernah mempunyai hubungan diplomatik dengan negara Zionis itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri menyifatkan tuduhan Israel bahawa peserta GSF adalah pengganas sebagai satu kenyataan yang amat biadab.

Tegasnya, pelayaran GSF adalah misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang sekian lama dizalimi Zionis.

"Suaranya daripada siapa? Daripada terrorist Israel, terrorist besar. Mereka (GSF) tidak membawa senjata, tidak membunuh orang.

"Mereka membawa makanan, minuman dan ubat-ubatan. Bagaimana GSF boleh dipanggil terrorist? Ini satu kenyataan yang biadab," katanya seperti dilaporkan Bernama, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjia Al-Khadijah, Jalan Pantai Sentral 2, di Lembah Pantai, di sini hari ini.

Sementara itu, Global Sumud Flotilla mengeluarkan rayuan antarabangsa selepas Israel merampas kapal Meteque di perairan antarabangsa pada Khamis lalu.

Agensi Anadolu melaporkan, siaran langsung dan komunikasi bersama kapal berkenaan telah terputus, manakala status semua peserta dan kru masih belum disahkan. - Getaran, 3 Oktober 2025