Malaysia mula hantar pulang imigran Rohingya, hari ini

29 Sep 2026 • 11:51 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Malaysia mula hantar pulang imigran Rohingya, hari ini

LUMUT – Malaysia mula menghantar pulang kira-kira 1,500 warganegara Myanmar, hari ini dalam fasa pertama program penghantaran pulang yang menimbulkan kebimbangan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Mereka dihantar pulang itu merupakan kumpulan pertama daripada 5,000 rakyat Myanmar yang menurut Malaysia, bersetuju untuk pulang secara sukarela dari pusat-pusat tahanan.

Berpuluh-puluh bas tiba dengan kawalan polis di stadium Majlis Perbandaran Manjung berhampiran pangkalan laut Lumut, demikian menurut pemerhatian wartawan AFP.

Wartawan bagaimanapun, tidak dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Semua imigran itu dijangka diproses sebelum dihantar ke pangkalan laut berhampiran dan dibawa ke Myanmar dengan menaiki kapal.

Tidak jelas hari ini berapa ramai dalam kumpulan itu merupakan etnik Rohingya, manakala pihak berkuasa Malaysia tidak mendedahkan jumlahnya.

Namun, etnik minoriti Islam Rohingya merangkumi dua pertiga daripada 190,000 pelarian dan pencari suaka Myanmar di Malaysia, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Julai lalu bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 etnik Rohingya, dalam usaha penghantaran pulang yang jarang berlaku.

Rancangan penghantaran pulang itu diumumkan selepas pihak berkuasa menahan lebih 100 etnik Rohingya yang berkumpul di luar pejabat agensi pelarian PBB di Kuala Lumpur.

Mereka memohon bantuan selepas diancam diusir dari sebuah penempatan tidak rasmi di negeri Pulau Pinang.

Kumpulan itu kemudiannya dibebaskan selepas pihak berkuasa mengesahkan mereka memegang dokumen PBB yang sah.

Awal bulan ini, Myanmar berikrar untuk menyediakan kepulangan ‘selamat dan bermaruah’ bagi warganegaranya yang menjadi pelarian di luar negara, berikutan kritikan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan kumpulan-kumpulan hak asasi manusia.

Anwar juga berkata beliau akan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, untuk lawatan rasmi bagi membantu mempercepatkan proses penghantaran pulang.

Malaysia menempatkan salah satu populasi pelarian terbesar di Asia Tenggara tetapi tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi.

Ramai etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar semasa tindakan keras tentera pada 2017. – AFP

The post Malaysia mula hantar pulang imigran Rohingya, hari ini appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved