KUALA LUMPUR - Lonjakan empat anak tangga Malaysia dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2025 adalah hasil penurunan jenayah indeks sebanyak 6.4 peratus berserta peningkatan 9,000 operasi keselamatan di sempadan dan di seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pencapaian itu membolehkan Malaysia menduduki tempat ke-13 sebagai negara paling aman di dunia, selain menduduki tangga kedua di rantau Asia Tenggara.
"Saya yakin kejayaan ini didorong oleh usaha bersepadu Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui agensi-agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Walaupun terdapat beberapa insiden serta kejadian yang mencetuskan kejutan sepanjang tempoh kajian Mac 2025 hingga Mac 2026, namun tahap keselamatan negara pada umumnya masih berada dalam keadaan baik dan terkawal," katanya.
Mohd Khalid berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, polis kini berdepan era yang amat mencabar untuk kekal relevan sebagai pasukan penguat kuasa terulung negara.
"Cabaran yang mendatang perlu diharungi demi memenuhi aspirasi kerajaan serta kehendak masyarakat," katanya.
Mengambil contoh insiden serangan yang mengorbankan anggota polis di Balai Polis Pinggiran Subang, Selangor pada 2017 dan Balai Polis Ulu Tiram, Johor pada 2024, beliau menegaskan kejadian berkenaan membuktikan wujudnya pihak yang berani mencabar undang-undang serta autoriti negara.
Susulan ancaman keselamatan yang semakin rencam dan kompleks, beliau menggesa agar penambahbaikan infrastruktur di premis-premis kritikal serta pindaan undang-undang sedia ada dilaksanakan supaya ia menjadi lebih progresif selari dengan keperluan semasa.
Dalam pada itu, Mohd Khalid turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan tindakan nyata kerajaan yang sentiasa menyokong usaha serta kebajikan warga Sang Saka Biru.
Menurut beliau, keprihatinan itu dibuktikan menerusi kelulusan peruntukan keseluruhan berjumlah RM12.063 bilion kepada PDRM pada 2026, di samping peruntukan RM200 juta bagi meluaskan rangkaian perkhidmatan dan kelengkapan teknologi maklumat di balai-balai polis serta kuarters kediaman di seluruh negara.

