Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai, Bukti Rakyat Yakin Dengan Kepimpinan Negara – Nga Kor Ming

LocalPolitics
22 May 2026 • 3:30 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai, Bukti Rakyat Yakin Dengan Kepimpinan Negara – Nga Kor Ming

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Baru-baru ini, kajian Edelman Trust Barometer 2026 mendapati Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam tahap kepercayaan rakyat apabila skor Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat kepada 71 mata.

Ini menjadikan kedudukan Malaysia ketujuh (7) paling dipercayai dalam dunia antara 28 pasaran global.

Malah menerusi senarai tersebut, Malaysia juga berjaya mendapat kedudukan lebih tinggi berbanding negara jiran Singapura dan Thailand.

Berikut adalah kedudukan Indeks Kepercayaan:

  1. China
  2. Emiriah Arab Bersatu (UAE)
  3. India
  4. Indonesia
  5. Saudi Arabia
  6. Nigeria
  7. Malaysia
  8. Kenya
  9. Thailand
  10. Singapura
Image from: Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai, Bukti Rakyat Yakin Dengan Kepimpinan Negara – Nga Kor Ming
Sumber: Edelman Trust Barometer 2026

Bukti Keyakinan Rakyat & Masyarakat Dunia Terhadap Malaysia – Nga Kor Ming

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Indeks Kepercayaan keseluruhan Malaysia yang meningkat daripada 66 mata pada 2025 kepada 71 mata tahun ini, telah menempatkan Malaysia antara negara terbaik di dunia bagi tahap kepercayaan rakyat terhadap kerajaan, perniagaan, media dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia sekaligus membuktikan negara berada pada landasan tepat dalam memperkukuh keyakinan terhadap institusi, kestabilan sosial dan perpaduan nasional.

Menerusi dapatan itu, tahap kepercayaan terhadap perniagaan berada pada 76%, kerajaan (72%), NGO (72%), media (65%) dan majikan (82% dalam kalangan pekerja), dengan semuanya berada dalam kategori ‘dipercayai’.

Tambahnya, pencapaian itu menjadi bukti keyakinan rakyat dan masyarakat peringkat global terhadap pengurusan negara, dasar ekonomi serta usaha Malaysia bagi memastikan pembangunan yang menyeluruh dan inklusif.

Peingiktirafan ini bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara. Ia membuktikan usaha Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus, kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial membuahkan hasil positif.

Nga Kor Ming
Image from: Malaysia Negara Ke-7 Paling Dipercayai, Bukti Rakyat Yakin Dengan Kepimpinan Negara – Nga Kor Ming
Sumber: Malay Mail

Baca Artikel Berkaitan: Ahli Politik & Influencer Antara 5 Profesion Paling Tidak Dipercayai Di Malaysia – Kajian

Kedudukan Malaysia Cerminkan Perpaduan Rakyat Negara Ini – Nga

Dalam masa sama, Nga berkata, kerajaan akan terus mengutamakan ketelusan, akauntabiliti dan dasar yang berasaskan kepentingan awam supaya kepercayaan rakyat kekal menjadi landasan kemajuan negara.

“Ketika banyak negara berdepan dengan peningkatan polarisasi dan ketidaktentuan, kedudukan Malaysia dalam kalangan negara paling dipercayai di dunia menunjukkan kekuatan kita dalam memelihara perpaduan dalam kepelbagaian.

“Pencapaian ini milik seluruh rakyat Malaysia,” tambah Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP terbabit.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Negara Ke-3 Di Asia Tenggara Paling Ramai Orang ‘Single’

Kepercayaan Rakyat Kini Lebih Tertumpu Kepada Komuniti Sama

Walau bagaimanapun, Nga tidak menyebut tentang pendedahan Edelman berhubung kebimbangan terhadap peningkatan sikap tidak mempercayai golongan yang berbeza pandangan, latar belakang dan sumber maklumat.

Sebelum ini, menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Edelman Malaysia dan Penasihat Kanan Edelman Asia Tenggara, Mazuin Zin, Malaysia berjaya membina kedudukan sebagai antara negara paling dipercayai di dunia, namun cabaran yang mendatang adalah untuk memperluaskan kepercayaan itu merentasi kelompok masyarakat berbeza.

Jelasnya, kepercayaan yang ada pada ketika ini lebih tertumpu dalam kelompok yang mempunyai nilai, sumber maklumat dan komuniti yang sama.

“Malaysia tidak boleh terus menikmati tahap kepercayaan yang tinggi sekiranya jurang dalam masyarakat semakin ketara. Merapatkan jurang bukan sahaja penting daripada sudut sosial, tetapi juga penting untuk memastikan pertumbuhan negara dapat diteruskan.

“Komunikasi memainkan peranan penting dalam menyatukan semua pihak,” katanya dipetik Berita Harian.