
Satu ketika dahulu, Malaysia hanya sebuah negara kecil di benua Asia, yang masih bertatih mencari rentak.
Bermula dengan usaha meningkatkan taraf ekonomi bagi merapatkan jurang perbezaan dengan negara yang terlebih dahulu membangun, Malaysia pantas dikenali sebagai Harimau Asia.
Selain menyerlah dari aspek ekonomi, negara ini juga dikagumi ramai dek kelantangan pemimpinnya bersuara di pentas antarabangsa.
Saat hampir seluruh dunia tunduk kepada telunjuk kuasa besar, Malaysia tidak pernah gentar, malah terus gagah bersuara membela nasib mereka yang dizalimi dan ia mencakupi pelbagai isu.
Konsistensi Malaysia dalam memperjuangkan penderitaan penduduk Palestin selepas sekian lama dizalimi Zionis adalah antara subjek yang sering kali menjadi perbualan.
Tidak Pernah Berundur
Ketika Israel dilihat ramai terus bermaharajalela, Malaysia tidak pernah diam daripada bersuara.
Meski tidak terbabit mengangkat senjata dan melancarkan serangan ke atas Israel, Malaysia masih berupaya menyampaikan sokongan secara signifikan.

Beberapa dekad telah berlalu, dan pendirian tegas kerajaan dalam menentang kezaliman serta kekejaman rejim Zionis diteruskan pula oleh Perdana Menteri Ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menjunjung kemas prinsip diplomasi tetapi tegas dan berwibawa, Malaysia terus memperkukuh reputasi sebagai kuasa moral global menerusi prinsip dan tindakan nyata.
Di bawah kepimpinan Anwar, negara ini mengekalkan konsistensi dalam membela Palestin dan meredakan konflik sempadan serantau.
Bukan Perkara Baharu
Ramai tidak menyedari, pendirian Malaysia terhadap Palestin sebenarnya telah terbentuk sejak era awal pasca kemerdekaan.
Menurut laman web Palestinian Cultural Organization, pemimpin Parti Kesatuan Melayu Malaya, Allahyarham Datuk Seri Dr Burhanuddin al-Helmi pernah melawat Palestin sekitar 1936.
Bertitik tolak dari lawatan itu, beliau menyertai revolusi besar Palestin lalu menubuhkan majalah Taman Bahagia untuk memperjuangkan negara itu.
Pembabitannya dalam revolusi berkenaan membawa kepada penahanan Allahyarham oleh British atas alasan membangkitkan hati rakyat terhadap British dan konflik Palestin.
Sejak itu, Malaysia konsisten menolak pengiktirafan terhadap Israel dan menyokong perjuangan Palestin menerusi gerakan antarabangsa seperti Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Ketegasan ini terus berkembang di era pemerintahan Tun Mahathir Mohamad, termasuk memberi sokongan diplomatik kepada PLO, mengiktiraf pejabat PLO di Kuala Lumpur sejak 1974, dan secara rasmi menolak Israel selagi kemerdekaan Palestin tidak diiktiraf.
Lebih Lantang, Lebih Keras
Sejak konflik di Gaza kembali melarat bermula Oktober 2023, suara Malaysia bergema dengan lebih keras dan lantang.
Perdana Menteri terus konsisten menolak tekanan kuasa Barat yang mendesak Malaysia mengutuk perjuangan Hamas.

Tanpa gagal, beliau terus menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin dan menghulurkan bantuan kemanusiaan berjumlah RM100 juta.
Anwar turut turut mengetuai perhimpunan besar di Axiata Arena pada 24 Oktober 2023 yang dihadiri lebih 16,000 rakyat, bagi menyeru solidariti kemanusiaan serta keadilan buat Palestin.
Dari aspek diplomatik, Malaysia teguh berdiri dalam menyokong resolusi OIC dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), selain mengiktiraf usaha Palestin menuntut pengiktirafan negara berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.
Konflik Thailand-Kemboja
Peranan Malaysia dalam mendepani konflik global tidak hanya terbatas ke atas isu Palestin dan Israel.
Ketika konflik antara Thailand dan Kemboja semakin memburuk, Malaysia tanpa diduga berjaya menjambatani usaha damai antara kedua negara tersebut.
Sekadar info, konflik antara dua negara berjiran itu berpunca daripada perjanjian koloni zaman Perancis–Siam awal abad ke-20, khususnya dalam isu melibatkan Preah Vihear.
The Washington Post dalam satu artikel menyebut, ICJ telah memihak kepada Kemboja pada 1962, tetapi ketidaksempurnaan penandaan semula dan peninggalan peta lama menyebabkan pertikaian itu terus berlarutan.
Ia bertambah buruk pada Mei lalu, apabila seorang tentera Kemboja terbunuh dalam sekatan sempadan.
Malaysia Sebagai Pencetus Perdamaian
Pada Julai 2025, ketegangan yang melanda semakin memuncak dan membawa kepada berlakunya konflik berdarah selama lima hari.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN berhasil menganjurkan perbincangan damai di ibu negara, sekali gus berjaya mewujudkan gencatan senjata serta-merta pada 28 Julai, yang turut menerima sokongan padu dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat (AS).

Susulan gencatan, kedua-dua pihak lantas bersetuju mewujudkan pasukan pemerhati ASEAN di sempadan yang diketuai Malaysia untuk memantau pelaksanaan gencatan senjata terbabit.
Krisis Di Myanmar Dan Peranan Malaysia
Umum mengetahui bahawa Myanmar sejak sekian lama dibelenggu krisis kemanusiaan, khususnya yang melibatkan etnik Rohingya.
Lambakan pelarian Rohingya di beberapa negara termasuk Bangladesh dan Malaysia mencetuskan rantaian masalah yang tidak berkesudahan, termasuk peningkatan kadar jenayah.
Sejajar dengan peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia mengambil peranan proaktif dalam memulihkan pelaksanaan Five-Point Consensus (5PC), iaitu pelan damai ASEAN yang merangkumi gencatan senjata, dialog inklusif, akses kemanusiaan, pelantikan utusan khas, dan akses kepada semua pihak berkepentingan.
Usaha ini digerakkan melalui sesi konsultasi tidak rasmi di Kuala Lumpur, yang dipuji sebagai langkah konstruktif dan positif dalam membangkitkan kembali prospek dialog antara pihak berbeza di Myanmar.
Malaysia juga tidak ketinggalan menerajui inisiatif baharu dengan menjemput pelbagai pihak Myanmar, mencakupi pemerintahan junta hingga kerajaan bayangan (NUG) dan organisasi bersenjata etnik untuk hadir dalam dialog tidak rasmi di ibu negara.
Pendekatan ini dilihat sebagai peralihan dalam diplomasi ASEAN, dari pendekatan formal ke pendekatan lebih inklusif dan kreatif.
Kerjasama Dan Sokongan Serantau
Sekitar Mac lalu, Myanmar dilanda gempa bumi berukuran 7.7 skala Richter yang meragut ribuan nyawa.
Ketika itu, seluruh ASEAN ikut berduka, tetapi dalam gelap, rupanya ada sinar yang menanti.
Susulan gempa, pihak junta sepakat melanjutkan tempoh gencatan dan ia menerima sokongan padu Malaysia.

Perluasan zon gencatan membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dihantar, malah perwakilan diplomatik Malaysia turut menggesa semua pihak menghentikan permusuhan dan memberi ruang kepada pemulihan manusiawi.
Rintihan ini disokong di peringkat ASEAN, yang setuju bahawa pilihan raya bukanlah keutamaan sebelum keamanan dan akses bantuan dijamin.
Serentak dengan itu, Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan langsung dengan Ketua Junta Myanmar dan pemimpin NUG, menjadikan Malaysia saluran dialog kedua-dua pihak secara bersendirian.
Ia diiktiraf ramai sebagai sebuah pencapaian besar dalam konteks kegagalan ASEAN terdahulu.
Kerajaan juga dijangka menghantar delegasi berbilang negara ke Myanmar pada September untuk mendapatkan penjelasan mengenai rancangan pilihan raya junta.
Delegasi ini bertujuan membawa maklumat kepada sidang ASEAN Oktober dan memastikan bahawa sebarang dialog berlandaskan 5PC dan pemahaman politik bersama ASEAN tetap terjaga.
Misi Dan Bantuan Lain
Malaysia juga tidak ketinggalan menghantar misi khas, termasuk anggota SMART dan beserta bantuan kemanusiaan bernilai RM10 juta untuk membantu usaha SAR dan korban gempa di Myanmar.
Dari aspek bantuan ke atas etnik Rohingya, Malaysia bekerjasama rapat dengan Bangladesh dan beberapa negara ASEAN lain (Indonesia, Thailand, Filipina) dalam menghantar delegasi serantau yang diketuai oleh Menteri Luar.
Usaha ini bukan sahaja mendorong perdamaian dan menyediakan bantuan kepada pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, tetapi juga berperanan mengurangkan beban Bangladesh sebagai tuan rumah utama pelarian. - Getaran


