Malaysia negara kedua penjarakan individu berkait 1MDB, kata wartawan AS

Politics
23 Aug 2022 • 9:46 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PETALING JAYA: Malaysia menjadi negara kedua selepas Singapura, memenjarakan mereka yang terlibat dengan skandal 1MDB, kata Tom Wright penulis buku “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World”.

Wright membuat kenyataan itu di Twitter susulan berita bahawa Mahkamah Persekutuan mengesahkan sabitan dan hukuman terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Susulan keputusan itu, Najib menjadi perdana menteri pertama negara ini yang dipenjarakan.

Buku Billion Dollar Whale, yang ditulis bersama Bradley Hope, membutirkan skandal rasuah 1MDB yang turut mendakwa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebagai dalangnya.

Wright dan Hope pernah menjadi wartawan Wall Street Journal (WSJ) yang pada 2015 telah melaporkan mengenai RM2.6 bilion didakwa dimasukkan ke akaun bank Najib dari dana 1MDB.

Dalam hantarannya di Twitter, Wright berkata, dia berharap negara lain seperti AS dan Switzerland akan mengambil tindakan terhadap individu “yang membenarkan perkara ini berlaku”, merujuk kepada pembabitan dalam skandal 1MDB.

Pada 2017, Singapura menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan terhadap bekas perancang kewangan BSI Singapore, Yeo Jiawei, kerana pengubahan wang haram dan tipu berkaitan skandal 1MDB.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan terus memulakan hukuman penjaranya.

Beliau telah merayu terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali yang mensabitkannya bagi tujuh tuduhan salah guna kuasa, serta pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dalam dana milik SRC International.

Sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadapnya kemudian disahkan Mahkamah Rayuan pada Disember tahun lalu.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.