
CYBERJAYA- Seramai 6.3 juta rakyat negara ini direkod menggunakan aplikasi navigasi Waze pada 2019, menjadikan Malaysia pengguna kelima tertinggi di dunia dan pertama tertinggi di ASEAN.
Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa), Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, pihaknya bagaimanapun tidak mempunyai maklumat terperinci mengenai data pengguna Malaysia yang mungkin sudah diperoleh pihak berkenaan.
“Saya tidak ada data atau maklumat terperinci (berapa banyak data pengguna yang sudah sampai kepada mereka).
“Cuma saya hendak kongsikan pada 2019, seramai 6.3 juta rakyat Malaysia menggunakan Waze (iaitu) tempat lima tertinggi di dunia dan nombor satu tertinggi di ASEAN,” katanya pada sesi taklimat kepada agensi media mengenai isu semasa keselamatan negara di sini hari ini.
Ditanya sama ada Nacsa akan mengambil tindakan sama terhadap aplikasi lain sekiranya mempunyai ancaman keselamatan sama, beliau menjelaskan, pihaknya menerima beberapa produk untuk diteliti termasuk produk keselamatan siber yang berasal dari Israel.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, penilaian akan memberikan lebih tumpuan terhadap produk yang tertakluk dan terikat dengan undang-undang Israel.
“Buat masa sekarang ini, satu yang kita ‘confirmed and verified’ dan akan dibuat kajian berterusan untuk produk-produk lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Nushirwan Zainal Abidin menyarankan rakyat Malaysia supaya menyahpasang Waze bagi mengelak data pergerakan mereka berisiko disalahgunakan sehingga mengancam keselamatan diri dan negara.
Katanya, meskipun larangan penggunaan Waze hanya dikenakan terhadap penjawat awam bagi tujuan rasmi, implikasi pengumpulan data pergerakan menerusi aplikasi itu tidak terhad pada waktu bekerja atau urusan rasmi semata-mata.
Jelasnya, data tersebut berpotensi digunakan untuk menjejaki pergerakan individu di luar waktu bertugas, sekali gus menimbulkan risiko kepada penjawat awam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
“Saya berpandangan keselamatan siber merupakan satu tanggungjawab bersama. Larangan itu satu larangan, tapi yang sebaliknya yang lebih penting adalah tanggungjawab untuk melindungi diri masing-masing,” katanya.
Tambah beliau, pengguna perlu lebih berhati-hati dalam berkongsi data menerusi aplikasi navigasi atau aplikasi lain pada telefon masing-masing, terutama melibatkan pihak yang tidak dipercayai.
Ditanya mengapa kerajaan tidak melaksanakan larangan penggunaan secara menyeluruh, beliau berkata, keputusan itu mengambil kira keperluan mengimbangi aspek keselamatan dan hak asasi, kebebasan bersuara dan kebebasan memilih. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia pengguna Waze kelima tertinggi dunia appeared first on Kosmo Online.






