Malaysia - Perancis Ikrar Kukuhkan Kerjasama 2 Negara

19 Nov 2024 • 3:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri bersalaman dengan Emmanuel Macron pada pertemuan di Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia dan Perancis bersepakat mengukuhkan hubungan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen tersebut dinyatakan menerusi pertemuan bersama Presiden Emmanuel Macron, di Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil hari ini. 

Menurut beliau, antara lain kerjasama berkenaan bakal meliputi sektor perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pertahanan.

“Kerjasama ini juga menyentuh  bidang kecerdasan buatan (AI).

“Kami turut membincangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Jelas Anwar, beliau turut menyatakan penghargaan kepada Macron atas dukungan menerusi Kerjasama Pembangunan ASEAN-Perancis.

“Selain itu, kami berdua juga sempat membincangkan perihal genosid yang berlaku di Palestin.

“Ia memerlukan gencatan senjata sesegera mungkin dan kerjasama semua pihak untuk menamatkan penderitaan rakyat di sana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri dalam sesi intervensi pertama bertajuk "Memerangi Kelaparan dan Kemiskinan" menggesa semua negara G20 menilai semula keutamaan global dengan menyalurkan sumber ke arah memerangi kelaparan dan kemiskinan, berbanding meneruskan konflik dan ketidaksamaan.

Katanya, ketidaksamaan ekonomi telah merampas sumber penting daripada negara-negara di Global South, manakala kelemahan tadbir urus serta kurangnya iltizam politik terus memerangkap komuniti dalam kemiskinan dan kelaparan.

"Kegagalan tadbir urus dalam kalangan negara adalah salah satu faktor utama. Ini sering dikaitkan dengan rasuah yang menjejaskan kantung kewangan negara, sekali gus meminggirkan golongan miskin dan lemah," katanya seperti dilaporkan Berita Harian. - Getaran, 19 November 2024