Malaysia Perlu Lonjak, Kukuh Hubungan Dengan China

LocalPolitics
12 Jul 2022 • 10:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tiong King Sing - Gambar dari Facebook Wee Ka Siong

SERI KEMBANGAN - Persahabatan Malaysia dan China sejak 48 tahun yang lalu menjadi bukti dan gambaran terbaik bagi kemajuan tamadun manusia. 

Duta Khas Perdana Menteri Bertaraf Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, hubungan diplomatik Malaysia dan China sejak 31 Mei 1974 merupakan sesuatu yang amat bermakna bagi kedua-dua negara.

Menurut beliau, rakyat ketika ini berharap kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu melonjak perhubungan itu ke satu tahap lebih tinggi, khususnya dalam meningkatkan kerjasama perdagangan dan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara secara berterusan. 

"Pada masa sama, rakyat mahu kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri mempergiatkan rancangan kerjasama pelaburan serta perniagaan Malaysia dan China. 

“Kerjasama dua hala dan pelaksanaan projek usahasama harus dipercepatkan agar semua sektor termasuk pelancongan dapat menerima manfaat daripada kerjasama antara kedua-dua negara," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Wisma Huazong di sini malam ini.

image is not available
Tiong King Sing (lima dari kiri) bersama beberapa Menteri yang turut hadir pada majlis makan malam Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China di Wisma Huazong, malam ini. - Gambar dari Facebook Wee Ka Siong

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Menteri Wilayah, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Jelasnya, kerajaan juga perlu mewujudkan persekitaran pelaburan di Malaysia lebih kondusif serta sokongan lebih besar kepada syarikat dan perniagaan China. 

"Ia perlu dilaksanakan dalam pelbagai aspek di peringkat kerajaan dan masyarakat bagi meningkatkan pemulihan pertumbuhan semua sektor ekonomi," katanya. 

King Sing turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Luar China Wang Yi serta Duta Besar China, Ouyang Yujing yang memberi sokongan padu dalam memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara. 

"Sejak saya dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China dan Pengerusi Malaysia-China Business Council, kerajaan China bukan sahaja memberi sokongan baik, malah pejabat Kedutaan China di Malaysia juga mempunyai hubungan kerjasama yang erat dengan pejabat duta khas dan Malaysia- China Business Council dalam pelbagai urusan. 

"Ini mencerminkan komitmen tinggi dan sokongan besar yang diberikan oleh rakyat China dan Kementerian Luar China kepada pembangunan negara kita," katanya. - Getaran, 12 Julai 2022.