Malaysia perlu manfaatkan ASEAN tangani krisis tenaga

LocalBusiness & Finance
21 Apr 2026 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Malaysia perlu manfaatkan ASEAN tangani krisis tenaga
Mohd Shahreen (kanan) ketika program Meja Bulat: Diskusi Mencipta Resolusi bertajuk 'Krisis Tenaga dan Kelestarian Subsidi: Apa Nasib Rakyat Marhaen' yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F, Kompleks Karangkraf, di sini pada Khamis. Foto Asril Aswandi Shukor

SHAH ALAM - Malaysia perlu memanfaatkan potensi ASEAN untuk mengatasi krisis Asia Barat secara bersama-sama, terutamanya dalam sektor tenaga melalui perkongsian seperti ASEAN Power Grid (APG).

Profesor Adjung Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ir Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros berkata, keperluan melihat kepada blok serantau itu amat penting memandangkan ASEAN memiliki negara pengeluar tenaga.

“Pengeluar tenaga ini perlu bergerak dalam kerangka ASEAN, sebab itulah dalam perbincangan sebelum ini wujudnya APG, antara lainnya. Tenaga bukan setakat minyak sahaja, tetapi gas, arang batu dan tenaga boleh diperbaharui.

“Jadi, kita perlu melihat kelestarian secara keseluruhan. Dari segi penggunaan tenaga, hampir 90 peratus tenaga kita datang daripada gas dan arang batu, manakala kurang 10 peratus daripada tenaga hijau.

“Tetapi, jika dilihat dari sudut serantau, negara ASEAN seperti Laos dan Kemboja dengan aliran sungai yang besar mampu menjana lebih banyak tenaga boleh diperbaharui seperti hidroelektrik. Namun, negara pengguna seperti Malaysia dan Singapura masih mempunyai jaringan yang belum matang dan perlu dipertingkatkan,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk Krisis Tenaga dan Kelestarian Subsidi: Apa Nasib Rakyat Marhaen yang berlangsung di sini pada Khamis.

Forum yang dikendalikan oleh hos merangkap personaliti televisyen, Ismail Adnan itu turut menampilkan barisan panel terdiri daripada Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr Ramli Tahir; dan Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff.

Mohd Shahreen berpendapat kepimpinan ASEAN perlu mengambil perhatian dan bersatu dalam menangani isu tersebut kerana polariti ekonomi berkemungkinan berlaku sama ada disukai atau tidak.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan langkah kerajaan dalam menangani isu subsidi minyak ketika negara berdepan situasi tidak menentu di Selat Hormuz dan Asia Barat susulan ancaman konflik antara Amerika Syarikat dan Iran, beliau mempunyai pandangan tersendiri.

Menurutnya, kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam memberikan harga subsidi RON95 pada paras RM1.99 menerusi sistem BUDI Madani RON95 (BUDI95).

Selain itu, subsidi turut disalurkan bagi bahan api diesel di Sabah dan Sarawak serta beberapa industri di Semenanjung.

Bagaimanapun, menurut beliau, semua langkah tersebut perlu dilihat dari sudut volatiliti, iaitu sejauh mana kerajaan mampu menanggung subsidi serta kekangan lain.

“Kerajaan menyatakan mungkin sebulan dua masih mampu menanggung, namun dalam tempoh itu keadaan di Asia Barat boleh berubah dengan sangat cepat.

“Sekiranya rundingan diumumkan, harga minyak mungkin turun mendadak. Namun, jika sebaliknya berlaku, harga boleh meningkat dengan ketara.

“Kita perlu memantau dan menilai sejauh mana keupayaan kerajaan untuk menanganinya. Berdasarkan belanjawan negara, terdapat defisit dan kerajaan perlu membuat pinjaman untuk menampungnya,” ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa kegagalan mengawal perbelanjaan negara dengan baik boleh memberi kesan negatif kepada industri pada masa hadapan.

View Original Article