Malaysia perlu seimbangkan hubungan dengan AS, rakan lain - PM

LocalPolitics
30 Apr 2025 • 11:37 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC). Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mengimbangkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) serta negara lain, dan pada masa sama menggalas amanah sebagai Pengerusi ASEAN untuk memacu pertumbuhan serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga merupakan kesempatan bagi kerajaan untuk memangkin usaha menyusun semula struktur ekonomi negara, membina asas yang lebih kukuh, kalis cabaran dan berdaya saing dalam dunia yang kian tidak menentu.

“Petang tadi, saya mempengerusikan Mesyuarat Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) bagi membincangkan strategi memperkukuh kedudukan eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS).

“Mesyuarat ini diadakan susulan pertemuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri dengan Setiausaha Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS minggu lalu, yang merupakan langkah penting dalam memastikan suara Malaysia terus didengari dalam landskap perdagangan global yang semakin mencabar,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Sebagai rekod, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bertemu dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer minggu lalu bagi membincangkan isu tarif perdagangan. – Bernama