Malaysia perlu terjemah teknologi, IP kepada produk, perniagaan berskala besar

LocalTechnology
2 Sep 2026 • 9:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Malaysia perlu terjemah teknologi, IP kepada produk, perniagaan berskala besar

SUBANG JAYA, 2 SEPT: Malaysia perlu melangkaui pembangunan teknologi dan harta intelek (IP) dengan menterjemahkannya kepada produk serta perniagaan yang mampu dikomersialkan pada skala lebih besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Ashran Ghazi berkata meskipun negara mempunyai banyak IP berkualiti tinggi yang dihasilkan institusi pengajian tinggi, usaha lebih besar diperlukan untuk merapatkan jurang antara hasil penyelidikan dengan aplikasi komersial.

Image from: Malaysia perlu terjemah teknologi, IP kepada produk, perniagaan berskala besar
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Ashran Ghazi berucap pada program Supply Chain Day Series 1: Exclusive Showcase by MaiStorage di Four Points by Sheraton Puchong, Subang Jaya pada 2 September 2026. Foto Sidec - Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation

"Apa yang masih kurang pada asasnya ialah penterjemahan hasil penyelidikan itu kepada perniagaan," katanya ketika menyampaikan sesi ucaptama pada Supply Chain Day Series 1: Exclusive Showcase from MaiStorage di Four Points by Sheraton Puchong, di sini hari ini.

Ashran berkata satu IP lazimnya tidak mencukupi untuk menghasilkan sesuatu produk secara menyeluruh kerana proses pembuatannya memerlukan gabungan pelbagai teknologi dan kepakaran.

Katanya, keadaan itu membuka peluang kepada syarikat untuk menggabungkan IP daripada universiti berbeza, menambah nilai melalui kepakaran sendiri serta memanfaatkan rantaian bekalan sedia ada bagi membawa produk ke pasaran.

Beliau turut menekankan kepentingan aspek pengedaran kerana teknologi yang baik sekalipun sukar berjaya sekiranya tiada saluran untuk membawa produk kepada pengguna.

"Anda boleh mempunyai produk dan idea paling hebat, tetapi jika tiada saluran pengedaran untuk menggerakkan produk itu, ia tetap tidak akan berjaya," katanya.

Menurut Ashran, MRANTI kini bekerjasama dengan pejabat pemindahan teknologi di universiti seluruh negara bagi membantu syarikat mendapatkan dan menggabungkan IP yang berkaitan tanpa perlu berurusan dengan setiap institusi secara berasingan.

"Kita mahu memastikan keutamaan negara dapat diterjemahkan kepada misi yang boleh dilaksanakan. Teknologi hanyalah sebahagian daripada penyelesaian," katanya.

Perkukuh ekosistem teknologi

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata Malaysia perlu bergerak daripada sekadar menjadi pengguna teknologi yang dibangunkan negara lain kepada negara yang membangunkan serta memiliki lebih banyak IP sendiri.

Beliau berkata negara perlu membangunkan teknologi tempatan, khususnya dalam berdepan ketidaktentuan global, selain memperkukuh kerjasama antara industri, infrastruktur, penyelidikan dan bakat bagi mempercepatkan proses membawa inovasi ke pasaran.

Image from: Malaysia perlu terjemah teknologi, IP kepada produk, perniagaan berskala besar
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad berucap pada program Supply Chain Day Series 1: Exclusive Showcase by MaiStorage di Four Points by Sheraton Puchong, Subang Jaya pada 2 September 2026. Foto Sidec - Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation

"Persoalan yang lebih penting ialah di mana kita memilih untuk mengambil bahagian dalam rantaian nilai.

"Peluang yang lebih besar adalah menghubungkan industri, infrastruktur, penyelidikan dan bakat dengan cara yang mampu mencipta nilai ekonomi serta memendekkan laluan daripada inovasi kepada pasaran," katanya dalam ucaptama.

Kamarul Ariffin berkata peranan Cyberview adalah menyediakan persekitaran yang membolehkan syarikat mendapatkan akses kepada bakat dan rakan strategik, menguji teknologi dalam keadaan sebenar sebelum membawanya ke peringkat komersial.

"Kita tahu ekosistem teknologi tidak boleh dibangunkan hanya melalui infrastruktur. Infrastruktur, keterhubungan dan pelaburan hanya penting apabila terdapat idea yang boleh diterjemahkan kepada penggunaan sebenar," katanya.

Beliau berkata gabungan ujian dalam keadaan sebenar, laluan kawal selia, penyertaan industri dan bakat mampu membantu merapatkan jurang antara teknologi berpotensi tinggi dengan pelaksanaan secara komersial.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved