Malaysia perlukan data autisme yang tepat

LocalFamily & Parenting
25 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Malaysia perlukan data autisme yang tepat

BERAPAKAH sebenarnya jumlah kanak-kanak autistik di Malaysia? Jawapan ini penting untuk menentukan keperluan negara terhadap doktor, ahli terapi, guru pendidikan khas dan kemudahan sokongan. 

Tanpa data tempatan yang tepat, perancangan perkhidmatan berisiko bergantung pada anggaran, sedangkan keperluan setiap keluarga berbeza mengikut lokasi, usia dan tahap sokongan.

Kajian prevalens pula menganggarkan perkadaran individu autistik dalam sesuatu populasi pada tempoh tertentu. Ia berbeza daripada jumlah pendaftaran kerajaan kerana tidak semua individu telah menerima diagnosis atau mendaftar untuk mendapatkan perkhidmatan.

Kajian global melaporkan median prevalens Kecelaruan Spektrum Autisme (ASD) sekitar seorang bagi setiap 100 kanak-kanak. Namun, angka tersebut tidak boleh terus digunakan untuk menggambarkan keadaan di Malaysia ekoran perbezaan kaedah saringan, pengesahan diagnosis, kesedaran masyarakat dan akses kepada perkhidmatan boleh mempengaruhi anggaran. 

Di Malaysia, kira-kira 93,000 individu autistik direkodkan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat Jun 2026. Pada 2024 pula, rekod Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan 1,685 kanak-kanak berumur 18 bulan disyaki mempunyai autisme.

Kajian prevalens berasaskan populasi dapat membantu kerajaan mengunjurkan keperluan perkhidmatan mengikut negeri dan daerah. Maklumat itu membolehkan bilangan pegawai perubatan, ahli terapi cara kerja, ahli terapi pertuturan-bahasa, ahli psikologi serta guru terlatih dirancang berdasarkan keperluan sebenar.

Kerajaan sudah menyediakan asas sokongan melalui KKM, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

KKM melaksanakan pemantauan perkembangan kanak-kanak serta saringan awal, manakala KPM menyediakan Program Pendidikan Khas Integrasi, Program Pendidikan Inklusif dan sokongan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK). 

JKM pula menyediakan pelbagai bantuan, termasuk subsidi sekali bayar RM1,000 bagi yuran pembelajaran dan terapi untuk kanak-kanak autistik yang layak pada 2026.

Namun, kewujudan program tidak semestinya menjamin akses yang sama rata. Sebahagian keluarga berdepan tempoh menunggu yang panjang untuk penilaian, diagnosis dan intervensi, selain kos terapi serta pengangkutan. Kekurangan perkhidmatan berhampiran tempat tinggal turut menjadi cabaran, khususnya di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak.

Stigma masyarakat juga boleh menyebabkan ibu bapa berasa malu atau bimbang mendapatkan pemeriksaan awal. Keadaan ini berpotensi menyebabkan sebahagian kanak-kanak tidak dikenal pasti dan tidak muncul dalam rekod rasmi.

Malaysia kerana itu memerlukan kajian prevalens nasional yang berasaskan populasi, bukan sekadar menggabungkan data klinik atau sekolah pendidikan khas. Pensampelan perlu mewakili negeri, kawasan bandar dan luar bandar, latar sosioekonomi serta pelbagai komuniti. Kanak-kanak di sekolah arus perdana, prasekolah dan program pendidikan khas juga wajar dilibatkan supaya mereka yang belum dikenal pasti tidak tercicir.

Pengalaman antarabangsa menunjukkan kepentingan pendekatan tersebut. Kajian di Korea Selatan pada 2011 menganggarkan prevalens autisme sebanyak 2.64 peratus, dengan kira-kira dua pertiga kes berada dalam populasi sekolah arus perdana tanpa diagnosis atau rawatan sebelumnya. Angka itu tidak boleh dijadikan ukuran bagi Malaysia, tetapi menunjukkan kemungkinan terdapat individu yang berada di luar sistem saringan dan perkhidmatan sedia ada.

Kajian tempatan perlu menggunakan saringan awal yang sesuai dengan bahasa dan budaya masyarakat sebelum penilaian diagnostik dilakukan oleh profesional terlatih. Soal selidik semata-mata tidak boleh dianggap sebagai diagnosis. Pada masa sama, privasi keluarga, persetujuan bermaklumat dan laluan rujukan bagi kanak-kanak yang memerlukan bantuan mesti dipastikan.

Penyelarasan data antara KKM, KPM, JKM dan Jabatan Perangkaan Malaysia juga perlu diperkukuh dengan perlindungan maklumat peribadi yang ketat. Kajian boleh dimulakan melalui beberapa lokasi perintis sebelum diperluaskan secara berfasa. Universiti, persatuan profesional, pertubuhan autisme serta wakil individu autistik dan keluarga wajar dilibatkan sejak peringkat perancangan.

Dapatan kajian kemudiannya perlu diterjemahkan kepada tindakan, termasuk memperkukuh saringan dan rujukan, menambah tenaga profesional di kawasan kurang mendapat perkhidmatan serta memperluas intervensi awal yang mampu dibiayai keluarga. Sokongan juga perlu diteruskan hingga remaja dan dewasa melalui pendidikan lanjut, latihan kemahiran, peluang pekerjaan dan bantuan untuk hidup lebih berdikari mengikut kemampuan masing-masing. –UTUSAN

 

PROFESOR MADYA DR. AHMAD ZAMIR CHE DAUD
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM) 

 

The post Malaysia perlukan data autisme yang tepat appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved