Malaysia pertimbang semula kewujudan UNHCR jika enggan bekerjasama

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 8:03 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Keberadaan UNHCR di Malaysia

Malaysia boleh mempertimbangkan semula kewujudan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini jika badan itu terus enggan bekerjasama dengan kerajaan dalam melaksanakan saringan ketat terhadap pemohon kad pelarian.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan kerana kewujudan pejabat UNHCR ketika ini dilihat seolah-olah menjadi ‘magnet’ yang menarik kemasukan lebih ramai pelarian, khususnya etnik Rohingya ke Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini sedang mengusahakan satu mekanisme bagi memastikan proses saringan terhadap pemohon kad pelarian dilaksanakan secara bersama oleh UNHCR dan pihak berkuasa tempatan sebelum sebarang kad dikeluarkan.

Baca juga:

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut meminta supaya Perjanjian Negara Tuan Rumah disegerakan bagi menetapkan garis panduan serta kawalan yang lebih ketat terhadap pengeluaran kad UNHCR.

Mohamad berkata, kerajaan mahu UNHCR memberikan kerjasama penuh dalam melaksanakan proses tapisan yang lebih menyeluruh. Tegasnya, sekiranya badan antarabangsa itu enggan berbuat demikian, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula keberadaan pejabat UNHCR di Malaysia supaya negara tidak terus menanggung beban.

Terdahulu, ratusan etnik Rohingya berkumpul di hadapan pejabat UNHCR di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi menjalani proses dokumentasi dan pengesahan identiti.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata antara isu yang perlu ditangani ialah proses permohonan kad pelarian yang didakwanya terlalu mudah kerana individu boleh membuat permohonan secara dalam talian ketika masih berada di negara asal sebelum memperoleh kad sebaik tiba di Malaysia. Beliau berkata keadaan itu menunjukkan tiada prosedur operasi standard (SOP) yang membolehkan pihak berkuasa tempatan menjalankan saringan lebih awal, justeru mekanisme tersebut perlu diperkemaskan.

Sumber: Malaysia Kini

The post Malaysia pertimbang semula kewujudan UNHCR jika enggan bekerjasama appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved