Malaysia pertimbang undang-undang khas tangani pembuangan, pencemaran plastik

6 Jun 2024 • 4:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Malaysia pertimbang undang-undang khas tangani pembuangan, pencemaran plastik. Gambar hiasan (Gambar kecil: Nik Nazmi)

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan pengenalan undang-undang khusus untuk menangani masalah pembuangan dan pencemaran plastik yang menjadi isu utama di Malaysia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad menyatakan kementerian itu sedang menilai keperluan untuk perundangan khusus berikutan jurang dalam rangka kerja semasa.

"Sebahagian besarnya bergantung kepada kerajaan tempatan. Ada beberapa bandar seperti Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor bergerak pantas, yang lain tidak.

"Kita memerlukan pendekatan nasional untuk menangani pencemaran plastik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Jurukur Antarabangsa Ke-26 2024 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Nik Nazmi menjawab kepada kajian baru-baru ini yang mendapati Malaysia menduduki tempat teratas dalam kalangan 109 negara dalam penggunaan mikroplastik dan merupakan antara 10 teratas paling banyak menyedut zarah mikroplastik.

Nik Nazmi berkata, kementerian itu sedang berbincang dengan Kementerian Ekonomi untuk menjalankan kajian sewajarnya mengenai dasar plastik negara.

Beliau juga menekankan tentang keperluan untuk rangka kerja undang-undang yang teguh untuk menghapuskan penggunaan plastik sekali pakai secara berperingkat, meningkatkan kadar kitar semula dan memerangi pencemaran plastik dengan berkesan.

"Perbincangan sudah pun berjalan.

"Kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Alam Sekitar kementerian, bertemu dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), ahli akademik dan perunding untuk belajar daripada negara lain dalam menentukan jalan terbaik ke hadapan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!