Malaysia #QuranHour 2025: Rawat hati dengan al-Quran, cegah gejala buli

LocalFamily & Parenting
19 Aug 2025 • 6:59 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Pelajar Maahad Ar-Rahmah Kenali memegang risalah Malaysia #Quran Hour tanda sokongan kepada program. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

image is not available
Pelajar berkumpul pada perhimpunan pagi dan menunjukkan risalah Malaysia #QuranHour 2025.

image is not available
Pelajar mengaji al-Quran setiap pagi sebelum memulakan sesi pembelajaran.

KOTA BHARU – Usaha mengekang gejala buli dalam kalangan pelajar tidak cukup dengan penguatkuasaan disiplin semata-mata sebaliknya perlu diperkukuh melalui penghayatan al-Quran sebagaimana diketengahkan menerusi Malaysia #QuranHour 2025.

Pengetua Maahad Ar-Rahmah Kenali, Mohamad Mohd Noor berkata, program berkenaan selaras dengan usaha sekolah membudayakan dan menghayati bacaan al-Quran dalam kalangan pelajar setiap hari sebelum sesi pembelajaran bermula.

“Warga Maahad Ar-Rahmah Kenali menyokong program yang diadakan dan seluruh pelajar kami sendiri membaca sehelai al-Quran secara berjemaah di perhimpunan setiap pagi.

**media[3242328]**

“Kami juga menggalakkan pelajar-pelajar menyertai program tersebut,” katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam Jelajah Kempen Malaysia #QuranHour oleh Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di sekolah berkenaan di Kubang Kerian pada Ahad.

Turut hadir, Pengarah Program Malaysia #QuranHour Negeri Kelantan, Zaharah Che Isa.

Mohamad berkata, inisiatif seperti Malaysia #QuranHour 2025 wajar dijadikan sebahagian daripada usaha membina benteng rohani sekali gus mengelakkan pelajar terjebak dengan gejala tidak sihat termasuk perbuatan membuli rakan sebaya.

Menurutnya, al-Quran bukan sekadar panduan hidup tetapi juga syifa atau penawar bagi penyakit hati termasuk sifat marah, iri hati dan dendam yang sering menjadi punca kepada insiden buli dalam kalangan pelajar.

**media[3242329]**

“Apabila hati ditarbiah dengan al-Quran, pelajar akan lebih berakhlak, lembut jiwa dan sedar batasan tingkah laku.

“Inilah kekuatan sebenar yang perlu diangkat bersama dengan penguatkuasaan disiplin,” katanya.

Ketika ini, dua kes buli tragis membabitkan Zara Qairina Mahathir, 13, dan Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, 16, menggemparkan negara sehingga menimbulkan kesedaran tentang pentingnya pendekatan rohani seperti Malaysia #QuranHour dalam mencegah insiden serupa.

Kedua-dua kes ini mencerminkan kecuaian sistemik dalam menangani isu buli sekolah.

Malaysia #QuranHour 2025 akan berlangsung pada 30 Ogos ini dengan tema “Merdeka Dengan Rasa”, yang membawa pengisian al-Quran bagi mendidik individu agar tidak terjebak dalam kekejaman nafsu amarah dan perasaan dendam.