
IPOH - Program Malaysia #QuranHour berjaya menyuntik semangat cintakan al-Quran dan mengeratkan hubungan perpaduan pelbagai lapisan masyarakat selari dengan sambutan Hari Kebangsaan Ahad ini.
Imam Utama Masjid Sultan Idris Shah II, Mohd Ridzuan Zaidin berkata, sesi taddabur surah al-Saff dan al-Balad dapat mengajak ummah memartabatkan al-Quran.
Menurut beliau, al-Quran menjadi asas panduan hidup bermula dari pemimpin hinggalah rakyat.
**media[3254341]**
"Surah al-Saff mengajak kita supaya duduk dalam satu barisan (bersatu padu) umpama satu bangunan yang kuat agar tiada perpecahan atau wujudnya permusuhan dalam kalangan ummah.
"Surah al-Balad pula menyentuh peranan masyarakat menjadi insan yang lebih baik dengan membantu golongan yang memerlukan.
"Pemilihan kedua-dua surah itu bertepatan serta menjadi simbol penyatuan umat dengan menerap nilai dan syariat Islam," katanya selepas merasmikan Malaysia #QuranHour peringkat negeri di Masjid Sultan Idris Shah II di sini pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi Rumah Ngaji Perak, Robaatun Hadayiah Harun dan Pengetua Maahad Tahfiz dan Kemukjizatan al-Quran Pondok Air Jernih, Gerik, Dr Fahmi Abdul Khir.
**media[3254343]**
Menurut beliau, program itu akan memberi natijah yang baik untuk diperluaskan kepada seluruh rakyat negeri ini.
Pada program itu, lebih 1,000 peserta hadir dan turut melafazkan Ikrar Malaysia #QuranHour 2025 Merdeka Dengan Rasa #ResetRasa sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Sementara itu, Robaatun Hadayiah ketika berucap melahirkan rasa syukur menerima penyertaan ramai dalam penganjuran Malaysia #QuranHour meskipun kemuncaknya berlangsung pada Sabtu di seluruh negara.
"Program ini mengajak kita berdampingan dan berinteraksi dengan al-Quran selama sejam yang mana kita dapat faham dan amalkan sekali gus mencintai kitab suci ini.
**media[3254342]**
"Misi utama Rumah Ngaji adalah mengqurankan bangsa dan mengikhlaskan ummah dengan meletakkan al-Quran sebagai inti utama kehidupan kita," katanya.
Jelas beliau, pihaknya meletakkan sasaran untuk mengajak lebih ramai masyarakat untuk membaca dan memahami al-Quran menerusi gerakan Rumah Ngaji di setiap kawasan.
"Rumah Ngaji banyak kaedah pelajarannya bermula mengenal huruf hinggalah boleh membaca dengan baik.
"Sebaik-baik kita membaca al-Quran adalah faham apa yang Allah SWT hendak sampaikan yang akhirnya akan membentuk bangsa berbudi dan penyayang," katanya.



