Malaysia #QuranHour cetus budaya al-Quran dalam kehidupan

LocalOpinion
12 Aug 2024 • 2:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Sukki

SHAH ALAM - Program Malaysia #QuranHour mempunyai peranan penting dalam mencetus budaya al-Quran dalam kualiti kehidupan masyarakat khususnya umat Islam di negara ini.

Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, pendekatan tersebut perlu diteruskan bagi membentuk satu kesedaran dan penghayatan kepada orang ramai supaya mementingkan al-Quran dalam hidup mereka.

“Jadi di situ peringatan demi peringatan sentiasa diadakan, manakala tugas kita pula untuk meneruskan budaya al-Quran itu dalam kehidupan seharian.

“Sebab orang kita ini biasa memadai dengan membaca al-Quran, belajar tajwid, habis khatam al-Quran itu dikira sudah selesai, maka ditinggalkan (amalan baca al-Quran).

“Akhirnya mereka tidak faham al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Ujar Mohd Sukki yang memegang peranan sebagai Pesan Tokoh itu, program berkenaan turut menggalakkan konsep tadabbur yang mana orang ramai dapat mengenal serta memahami makna-makna ayat suci yang terkandung al-Quran.

“Malaysian #QuranHour ini juga hendak ajar kita bukan sekadar membaca sahaja tetapi tadabbur ayat al-Quran.

“Sebab itu diambil beberapa surah contohnya al-Jumu’ah dan al-Hujurat. Untuk kita menghayatinya satu persatu dan mengaplikasikannya di dalam kehidupan kita. Itu penting,” ujarnya.

Sementara itu, menurut beliau, penganjuran program yang berpandukan surah al-Jumu’ah dan surah al-Hujurat itu turut membentuk sifat menjalin hubungan sesama manusia dengan cara betul.

“Contohnya dalam konteks negara, kita hendak membina negara ke arah kebaikan sebab itu kita perlu kepada saling hormat-menghormati, ada sifat kasih sayang, bersatu padu dan sebagainya.

“Itu antara (elemen dalam) surah al-Hujurat. Jadi itu penting dalam soal untuk memahami kemerdekaan maknanya biar kita hidup secara harmoni, saling tolong-menolong, bekerjasama antara satu sama lain dan dapat membangunkan negara,” ulasnya.