Malaysia Saran Thailand Tubuh SEZ, Babit Sektor Swasta Dan Syarikat Pemula - PM

LocalPolitics
7 Aug 2024 • 2:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri bersama Maris Sangiampongsa pada pertemuan di Putrajaya semalam - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Thailand disarankan agar menubuhkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) yang turut melibatkan penyertaan sektor swasta dan syarikat pemula.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan berkenaan disuarakan kepada Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa pada pertemuan di Putrajaya, semalam.

Menurut Perdana Menteri, penglibatan kedua-dua sektor terbabit boleh menarik lebih banyak pelaburan ke dalam SEZ.

“Saya juga mencadangkan agar Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang sungai Sungai Golok,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

image is not available
Perdana Menteri menyambut ketibaan Maris Sangiampongsa pada pertemuan di Putrajaya semalam - Gambar PMO

Jelas Anwar, pertemuan bersama Maris itu turut membincangkan hasil lawatan kerja beliau dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisn ke Sungai Golok, Thailand, dan Rantau Panjang, Kelantan minggu lalu.

“Saya dan Maris turut berbincang mengenai pengorekan muara Sungai Golok bagi menangani isu banjir dan usaha ini bertujuan membantu komuniti di sepanjang sempadan yang menghadapi masalah banjir hampir setiap tahun,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, Malaysia juga menyatakan komitmen terhadap Proses Dialog Keamanan Selatan Thailand. 

“Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Ke-7 pada 19 September 2024.

“Moga hubungan kedua negara berjiran ini terus utuh dan kekal harmoni,” katanya. - Getaran, 7 Ogos 2024