
Kementerian Komunikasi kini berkongsi sasaran mereka untuk mencapai 100% liputan capaian internet di kawasan berpenduduk seluruh Malaysia, menjelang 2027 kelak. Sasaran ini dijangka dicapai dibawah pelaksanaan pelan JENDELA yang menyasarkan capaian internet menyeluruh di Malaysia.
Setakat penghujung 2025 yang lepas, liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk telah mencapai 99.71%. Dalam terus memastikan semua kawasan berpenduduk mempunyai capaian internet, kerajaan turut mengintegrasikan capaian melalui penggunaan teknologi 4G dan 5G, selain pancaran internet melalui satelit dikawasan pedalaman.
Melalui capaian internet menyeluruh ini, ia bukan sahaja membantu dalam sektor ekonomi, tetapi juga dari segi pendidikan dan lain-lain. Langkah ini juga dilihat selari dengan sasaran kerajaan untuk terus meningkatkan pendapatan dalam negara melalui ekonomi digital. Sebelum ini juga, kerajaan telah melaksanakan sejumlah inisiatif dalam mengurangkan kos langganan internet, disamping memudahkan pengguna beralih ke peranti generasi baharu.



