Malaysia sasar pertumbuhan KDNK sebanyak 4.5%-5.5% di bawah RMK13

31/07/2025 - 13:04
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 31 Julai - Kerajaan menetapak sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 4.5% hingga 5.5% bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Sasaran KDNK lima tahun terbaharu itu berbanding kadar pertumbuhan purata sebanyak 5.2% yang dicatatkan antara 2021 hingga 2024, iaitu di hujung bawah julat sasaran 5% hingga 6% yang ditetapkan dalam RMK12.
Kerajaan juga telah mengunjurkan perbelanjaan pembangunan (devex) sebanyak RM430 bilion — meningkat 3.6% berbanding tempoh 2021-2025 — atau purata RM86 bilion setahun sepanjang tempoh lima tahun.
Defisit fiskal kerajaan persekutuan disasarkan untuk berada di bawah 3% daripada KDNK menjelang 2030, berbanding 4.1% pada tahun 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan tahunan pelaburan swasta sebanyak 6% (purata RM417.9 bilion setahun) dan 3.6% bagi pelaburan awam (purata RM112.9 bilion setahun).
"Eksport kasar dijangka meningkat sebanyak 5.8% setahun sepanjang tempoh rancangan tersebut.
"Inflasi pula dijangka kekal pada kadar 2% hingga 3% setahun, selari dengan purata 2.5% yang dicatatkan dari tahun 2021 hingga 2024.
"Rancangan lima tahun ini menyaksikan kerajaan terus menekankan fokus utamanya untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, merangka semula struktur ekonomi, dan memperkukuh daya saing Malaysia sebagai ekonomi terkemuka di Asia Tenggara," katanya semasa membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara keutamaan sektor lain di bawah RM13 merangkumi 70.1% graduan bekerja dalam pekerjaan yang sepadan dengan kelayakan mereka menjelang 2030, dengan pencapaian setanding dengan purata antarabangsa
Pada masa sama, mengurangkan perbelanjaan kesihatan secara langsung (out-of-pocket) kepada 32% daripada jumlah perbelanjaan kesihatan, dengan 60% rakyat mempunyai rekod kesihatan digital menjelang 2030
Meningkatkan pampasan kepada pekerja — yang merangkumi gaji serta imbuhan bukan wang — kepada 40% daripada KDNK, berbanding sedikit melebihi satu pertiga daripada ekonomi pada masa ini.
Pendapatan bulanan isi rumah purata disasarkan mencecah RM12,000, manakala kadar kemiskinan mutlak disasarkan menurun kepada 4.7% menjelang 2030 selain membina 500,000 lagi unit rumah mampu milik menjelang 2030.
Secara keseluruhan, RMK13 berteraskan tiga tonggak utama: membina ekonomi dipacu kecerdasan buatan (AI), membangunkan sistem sosial berteraskan manusia di bawah kerangka Madani, dan memperkasa sebuah negara berdaulat serta bermaruah. Ia disokong oleh lebih 120 strategi dan lebih 600 inisiatif. - DagangNews.com
standard

