Sistem swapandu paling maju di atas jalan raya sekarang digunakan oleh Waymo pada roboteksi mereka. Sistem swapandu Tahap 4 yang digunakan membolehkan kenderaan dipandu tanpa manusia di belakang stereng. Tetapi di Malaysia, kerajaan menetapkan sasaran sistem swapandu Tahap 3 dibangunkan syarikat tempatan menjelang 2030.
Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin hari ini mengumumkan sasaran negara untuk syarikat tempatan menaik taraf keupayaan pembuatan cip, sensor dan perisian berkaitan sistem swapandu.

Pada waktu yang sama pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menambah baik infrastruktur jalan, papan tanda dan kemudahan sokongan lain bagi membolehkan sistem swapandu Tahap 3 digunakan. Bagi mencapai sasaran ini, Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan diberikan mandat untuk memacu inisiatif ini ke hadapan.
Swapandu Tahap 3 membolehkan kenderaan beroperasi sendiri tanpa kawalan manusia tetapi pemandu manusia perlu bersedia mengambil alih kawalan dengan segera apabila diperlukan. Beberapa syarikat tempatan telah membangunkan sistem dengan kemampuan ini tetapi sehingga kini belum lagi dikomersialkan.
Tahun lalu Menteri Digital mengatakan Kementerian Digital dan juga Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memulakan proses perbincangan dalam mewujudkan sebuah rangka kerja perundangan khusus untuk kenderaan swapandu, atau kenderaan tanpa pemandu di Malaysia.

