
KUALA LUMPUR – Malaysia sekali lagi tampil menghulurkan bantuan kepada Indonesia ketika kebakaran hutan dan tanah di Sumatera kembali mencetuskan kebimbangan terhadap jerebu rentas sempadan.
Bukan sekadar menawarkan bantuan, Malaysia sememangnya mempunyai aset yang pernah digunakan untuk membantu Indonesia dalam situasi sama sebelum ini.
Aset Malaysia Mampu Angkut Ribuan Liter Air
Pesawat Bombardier CL-415MP milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merupakan antara aset berkemampuan tinggi yang boleh digunakan untuk operasi pemadaman kebakaran dari udara.
Pesawat amfibia itu mampu mencedok sehingga 6,137 liter air dalam tempoh hanya 12 saat, sebelum membawa dan menjatuhkan air ke kawasan kebakaran. Malaysia mempunyai dua unit CL-415MP.
Kemampuan itu bukan sekadar di atas kertas.
Pada 2015, Malaysia pernah menghantar pesawat Bombardier CL-415MP bersama helikopter APMM ke Sumatera Selatan bagi membantu memadam kebakaran hutan dan tanah yang ketika itu turut menyebabkan jerebu teruk di rantau ini.
Dalam operasi tersebut, pesawat Malaysia menjalankan teknik water scooping dan water bombing. Pada hari pertama sahaja, pesawat berkenaan melakukan 10 kali water scooping dan 10 kali water bombing.
Malah, rekod APMM menunjukkan pesawat itu mampu menyedut 6,137 liter air dalam 12 saat, dengan masa dari proses menyedut air sehingga tiba di kawasan kebakaran sekitar tujuh minit.
Malaysia Sekali Lagi Tawar Bantuan
Kini, selepas lebih sedekad, Malaysia sekali lagi menyatakan kesediaan membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah jika bantuan diperlukan.
Pada masa sama, Indonesia telah memberikan kebenaran rasmi kepada Malaysia untuk memasuki ruang udaranya bagi menjalankan operasi pembenihan awan, dengan NADMA dan MetMalaysia sedang menyusun jadual penerbangan bersama pihak Indonesia.
Malaysia juga telah menawarkan bantuan bagi operasi pemadaman kebakaran sekiranya Indonesia memerlukan sokongan tambahan.
Ini bukan kali pertama Malaysia membantu negara jiran ketika berdepan bencana.
Pada 2015, Malaysia pernah menghantar aset dan anggota ke Sumatera untuk membantu memadam kebakaran.
Dan hari ini, apabila keadaan kembali mencetuskan kebimbangan terhadap jerebu rentas sempadan, Malaysia sekali lagi bersedia menghulurkan bantuan.
Semangat kejiranan seperti inilah yang menunjukkan bahawa apabila bencana melanda, Malaysia tidak hanya melihat dari jauh, jika diperlukan, kita tampil membantu. – The Malaysian Update
The post Malaysia Sedia Bantu Indonesia, Aset ‘Super Scooper’ Pernah Padam Kebakaran Di Sumatera appeared first on The Malaysian Update.






