Malaysia Sedia Berunding Pelaksanaan Seru Pandu Rentas Sempadan Johor–Singapura

19 Aug 2025 • 1:21 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kementerian Pengangkutan Malaysia menyatakan kesediaan untuk memulakan rundingan pelaksanaan perkhidmatan seru-pandu rentas sempadan antara Johor dan Singapura.

Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke menegaskan bahawa inisiatif ini hanya dapat dilaksanakan melalui kerjasama erat serta persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan.

image is not available

Beliau menjelaskan bahawa Malaysia bersedia secara berprinsip untuk membincangkan cadangan perkhidmatan seru-pandu rentas sempadan namun pelaksanaannya tidak boleh dilakukan secara sebelah pihak. Sebarang keputusan perlu dicapai melalui kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Singapura.

Cadangan ini pernah dibangkitkan kepada bekas Menteri Pengangkutan Singapura, Chee Hong Tat namun ketika itu pihaknya belum bersedia untuk berbincang lanjut. Loke menyatakan harapan agar rundingan dapat diteruskan semula bagi memperkukuh hubungan rentas sempadan dan memudahkan pergerakan rakyat.

image is not available

Dalam kenyataan terbaharu, Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) memaklumkan bahawa mereka belum bercadang untuk melaksanakan sepenuhnya perkhidmatan seru-pandu rentas sempadan.

Sebaliknya, LTA memilih untuk memperluas Skim Teksi Rentas Sempadan (CBTS) sebagai alternatif bagi memperluaskan akses rentas sempadan bagi pengguna.

image is not available

Bagi mengurangkan kesesakan trafik di sempadan Johor–Singapura, kerajaan persekutuan turut melaksanakan beberapa langkah strategik.

Antaranya termasuk menaiktaraf jalan utama yang menghubungkan stesen Bukit Chagar bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.

Selain itu, Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama kerajaan negeri Johor sedang merancang peluasan Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST).