Malaysia sedia hantar pasukan pemantau ke sempadan Thailand-Kemboja – PM Anwar

LocalPolitics
5 Aug 2025 • 6:06 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KUALA LUMPUR – Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pemantau tetap ke sempadan Thailand-Kemboja bergantung kepada keputusan dan keperluan semasa yang akan diputuskan bersama negara-negara ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, semua ketua negara ASEAN telah mencapai kata sepakat untuk menempatkan atase pertahanan masing-masing dalam usaha memantau dan menyokong proses damai di kawasan sempadan yang bergolak itu.

“Setakat ini kita telah beritahu bahawa Malaysia bersedia menghantar (pasukan pemantau) dan dalam perundingan saya dengan semua ketua-ketua ASEAN, semuanya sepakat jika diminta oleh kedua-dua negara.

“Keadaan semasa kini adalah terkawal. Satelit dapat memantau dan kehadiran atase pertahanan diselaras oleh Malaysia,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar, sebarang keputusan berhubung penghantaran fizikal pasukan pemantau atau penglibatan tetap daripada ASEAN akan ditentukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan antara Thailand dan Kemboja yang dijadual berlangsung pada 7 Ogos ini.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam membantu menjayakan proses damai antara kedua-dua negara jiran itu.

“Kita harap mesyuarat tersebut dapat memuktamadkan mekanisme terbaik untuk menjamin keselamatan dan kestabilan serantau,” katanya.

Untuk rekod, Thailand dan Kemboja pada 28 Julai lalu telah mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat, hasil mesyuarat khas yang berlangsung di Putrajaya.