Malaysia setuju turun tarif kepada AS, beli 60 pesawat Boeing bernilai RM81 bilion

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 7:44 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Sebanyak 6,911 produk AS diberi kadar tarif sifar

Malaysia bersetuju menurunkan kadar tarif kepada sifar bagi 6,911 daripada 11,260 baris tarif atau produk yang diminta oleh Amerika Syarikat (AS), bersamaan 61 peratus. Ia merupakan hasil rundingan perdagangan timbal balas antara kedua-dua negara bagi memperkukuh aliran dagangan dua hala.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, walaupun tawaran tarif Malaysia kepada AS meliputi 98 peratus baris produk, kerajaan hanya bersetuju meliberalisasikan 61 peratus sahaja.

“Inilah pendekatan yang sistematik dan teratur. Kita kekalkan beberapa perkara asas sebagai garis merah,” katanya pada sidang media hari ini.

Baca juga:

Gambar hiasan | Kredit gambar: Aviation A2Z

Komitmen beli 60 pesawat Boeing secara berfasa

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia Aviation Group (MAG) telah komited membeli 30 pesawat Boeing dalam fasa pertama bernilai AS$9.5 bilion (RM40.63 bilion), diikuti 30 lagi dalam fasa kedua. Nilai keseluruhan pembelian itu mencecah RM81.27 bilion. Ia dianggap sebagai sebahagian daripada usaha mengimbangi defisit dagangan dengan AS.

“Perolehan ini merupakan sebahagian langkah untuk menyokong pelaburan dua hala yang lebih seimbang,” kata Tengku Zafrul.

Malaysia kekal tegas: Duti eksais, sektor strategik dan hak Bumiputera dikekalkan

Kerajaan juga menegaskan beberapa tuntutan AS tidak akan dilayan termasuk pemansuhan duti eksais, penghapusan lesen import produk tertentu, liberalisasi ekuiti syarikat dalam sektor strategik dan semakan semula dasar digital serta keistimewaan Bumiputera.

“Mereka minta kita hapuskan duti eksais ke atas kereta, tembakau dan arak, tetapi kita ada industri automotif tempatan dan dasar sosial yang perlu dijaga. Kita belum bersedia untuk langkah sebegitu,” jelas beliau.

Tegasnya, Malaysia tetap komited untuk menjadi rakan dagang terbuka, namun tidak akan mengorbankan kepentingan nasional dan asas dasar sedia ada semata-mata untuk memenuhi kehendak luar.

Sumber: Harian Metro