
KUALA LUMPUR – Umat Islam di negara ini akan menyambut Aidilfitri esok.
Pengumuman itu dibuat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam ini, melalui satu siaran langsung yang disiarkan stesen penyiar, RTM.
"Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ialah pada hari Rabu, 10 April 2024," katanya ringkas.
Sebelum ini dilaporkan, tarikh melihat anak bulan Syawal bagi tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, 9 April, bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah manakala pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa akan diumumkan pada malam sama.
Laporan yang memetik kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia itu memaklumkan, Majlis Raja-Raja juga mempersetujui cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab.
Petang tadi, cerapan anak bulan di 29 lokasi di seluruh negara, dan dikendalikan Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri.
Jawatankuasa itu dipengerusikan mufti negeri dan ahlinya, membabitkan pakar falak, alim ulama, pegawai falak berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Sementara itu, turut merayakan Aidilfitri esok adalah negara jiran Singapura dan Indonesia.
Pengumuman mengenai tarikh perayaan Aidilfitri itu diumumkan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan Menteri Agama di Indonesia.
Bagaimanapun, Brunei akan menyambut Aidilfitri pada Khamis, 11 April selepas hilal atau anak bulan Syawal tidak kelihatan di semua lokasi cerapan di seluruh negara itu. – Getaran, 9 April 2024

