
KUALA LUMPUR - Malaysia dan Singapura akan meneroka kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit serta tertunggak secara berkesan pada kadar segera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mencakupi pelbagai isu yang telah berlarutan sejak sekian lama seperti bekalan air, sempadan maritim dan ruang udara.
Menurut beliau, parameter kesemua perkara tersebut akan dibincang secara bersama oleh pasukan teknikal kedua negara.
“Perbincangan ini antara lain menyentuh soal maritim, ruang udara, bekalan air, tenaga boleh diperbaharui selain kesesakan di Tambak Johor.
“Kami juga senada untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi serta meneroka peluang kerjasama baharu sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya.
Jelas beliau, kesemua isu berkenaan adalah perihal kompleks yang perlu ditangani secara holistik agar mampu mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak terlibat.
“Seperti yang dikatakan oleh Perdana Menteri (Singapura) Lawrence Wong, ia perlu ditangani secara holistik, supaya kita dapat lihat beberapa perkara yang dituntut oleh Singapura dan yang dituntut Malaysia.
“Ia harus dipertimbangkan sepenuhnya, dan penyelesaian muktamad harus menjadi keputusan menang-menang untuk semua pihak," katanya, seperti dilaporkan BERNAMA.
Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media bersama Lawrence selepas mesyuarat delegasi sempena Pemukiman Pemimpin Ke-11, di Putrajaya hari ini.
Sementara itu menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata mesyuarat dua hal tersebut turut menyentuh aspek tenaga boleh diperbaharui selain kesesakan di Tambak Johor.
“Kami juga senada untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi serta meneroka peluang kerjasama baharu sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
“Saya turut menghargai dukungan Singapura kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini dan kami juga sepakat terkait kepentingan untuk kesemua negara anggota terus bekerjasama rapat untuk menangani pelbagai cabaran geopolitik dan ekonomi,” katanya.
Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura pagi tadi dimulakan dengan meraikan Lawrence Wong serta delegasi menerusi sambutan rasmi dan pemeriksaan pasukan Kawalan Kehormatan daripada Batalion Pertama Rejimen Melayu Diraja.
Anwar berkata, kunjungan Lawrence amat penting dan cukup bermakna tatkala hubungan dua hala Malaysia-Singapura menginjak usia enam dekad tahun ini.
“Kedua-dua negara komited untuk mempererat persahabatan dan persefahaman yang terjalin sejak sekian lama,” katanya. - Getaran, 7 Januari 2025

