
PETALING JAYA: Malaysia akan memperkukuh keberadaan mereka di pasaran luar negara dengan menggerakkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit bagi meningkatkan kesedaran mengenai
kualiti tinggi minyak sawit negara dalam memerangi maklumatmaklumat salah yang dilemparkan terhadap minyak ‘emas’ negara.
Caretaker Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamarudin berkata kementeriannya sentiasa komited dalam memperkasa agenda sektor agrikomoditi dari masa ke semasa, terutamanya sektor sawit supaya lebih kukuh, berdaya saing dan berorientasikan pasaran bagi memenuhi agenda pembangunan sosioekonomi negara.
“35 peratus daripada minyak sawit keluaran negara kita memperoleh pensijilan diiktiraf antarabangsa, iaitu Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Tiada negara lain di dunia yang mempunyai
pensijilan seumpamanya untuk minyak sawit mereka,“ katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah Zuraida, pengalaman Malaysia selama lebih 70 tahun dalam sektor pengeluaran minyak sawit boleh menjadi rujukan dan membantu negara jiran seperti Kemboja mencapai kejayaan sama dalam tempoh lima tahun melalui pemindahan teknologi, ilmu, bakat dan kemahiran.
“Kemboja adalah negara pengimport pelbagai produk agritani Malaysia yang utama, khususnya minyak sawit, malahan nilai dagangan antara kedua-dua negara sentiasa meningkat saban tahun. Pada tahun 2021, Kemboja mengimport lebih tujuh (7) juta tan minyak sawit kita berbanding hanya lebih satu (1) juta tan pada tahun sebelumnya.
“Dalam hal ini, selain menjadikan Kemboja sebagai destinasi import pelbagai produk berkaitan minyak sawit keluaran negara kita, penggiat-penggiat industri di Malaysia memiliki ruang untuk merintis usaha bagi menjayakan pemindahan teknologi, bakat dan kemahiran yang dapat membantu sektor pertanian serta perladangan Kemboja mencapai potensi sepenuhnya,“ tambah Zuraida.

