
KUALA LUMPUR - Malaysia telah menghantar surat permohonan kepada Rusia selaku Pengerusi BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) berhubung permohonan negara untuk menyertai blok berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, surat permohonan terbabit dihantar baru-baru ini.
Menurut beliau, perkara tersebut adalah antara agenda yang dibincangkan pada pertemuan bersama Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov di Seri Perdana hari ini.
“Hari ini menerima kunjungan hormat Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov yang kini dalam lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula Sabtu di Seri Perdana, Putrajaya.
“Kami menyentuh aspek pengukuhan kerjasama dua hala, dan Malaysia menegaskan agar hubungan sedia ada dipertingkat dan diperkukuh,” katanya.

Jelas Perdana Menteri, tumpuan akan diberikan dalam sektor pelaburan dan perdagangan, sains dan teknologi, pertanian, pertahanan dan ketenteraan, pendidikan serta pelancongan dan budaya.
“Perbincangan turut memberi penekanan berkaitan isu sejagat melibatkan situasi terkini di Palestin dengan kedua-dua negara menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata secara kekal, bantuan kemanusiaan segera selain Negara Palestin diperaku sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Berkenaan Ukraine, Malaysia menyeru agar dialog dan perbincangan menjadi jalan keluar kepada konflik ini,” katanya.
Pada pertemuan berkenaan, Anwar turut diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Sementara itu Bernama melaporkan, Perdana Menteri pada 18 Jun lalu mengesahkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva.
BRICS yang merangkumi Brazil, Rusia, India dan China ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi dan sedang pesat membangun.
Afrika Selatan kemudian menyertai blok itu pada 2010, sebelum disertai Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
BRICS kini menyumbang satu perempat daripada ekonomi global, merangkumi satu perlima daripada perdagangan global, dengan populasi sekitar 40 peratus penduduk dunia.
Terdahulu, ketibaan Lavrov dan delegasi pada pukul 10 pagi di Kompleks Seri Perdana disambut Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan. - Getaran, 28 Julai 2024

