Malaysia tangguh kutip cukai LVG 10% barang import bernilai RM500 ke bawah

16 Mar 2023 • 8:17 AM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) telah mengumumkan penangguhan pengutipan cukai Barangan Nilai Rendah (LVG) sehingga satu tarikh yang masih belum ditetapkan. Sepatutnya, cukai tersebut akan mula dikutip 1 April 2023.

image is not available

Buat anda yang terlepas info, sewaktu pembentangan Bajet 2022 lalu, kerajaaan ada mengumumkan LVG sebanyak 10% ke atas barangan bernilai bawah RM500 yang dibawa masuk dari luar negara. Hasilnya, semua pembelian dalam talian anda yang jenis "shipped from oversea" bakal dikenakan cukai, tidak terhad kepada Lazada ataupun Shopee sahaja.

Namun, ia tidaklah bermakna LVG dimansuhkan terus kerana undang-undang Cukai Jualan ke atas LVG sudahpun berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

Dalam undang-undang tersebut, semua penjual tidak kiralah rakyat Malaysia ataupun luar yang menjual LVG dan membawa masuknya ke dalam Malaysia menggunakan kaedah darat, laut, ataupun udara dengan jumlah jualan melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan, perlulah mendaftarkan diri mereka kepada Kastam.

image is not available

Sewaktu dibentangkan dulu, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Shahar Abdullah, kerajaan dijangka mampu memungut sekitar RM200 juta setahun bersumberkan cukai ini.

Situasi masa ini adalah cukai jualan dikenakan ke atas semua barang bercukai sama ada yang dihasilkan di Malaysia ataupun yang diimport dari luar Malaysia. Namun, pengecualian diberikan ke atas barang bernilai tidak melebihi RM500 (LVG) yang masuk melalui lapangan terbang antarabangsa terpilih.

image is not available

Jiran kita Singapura terlebih dahulu mengumumkan langkah serupa. Republik itu dilihat lebih proaktif apabila dokumen tentang tatacara memeungut cukai LVG sudahpun diterbitkan seawal 30 Julai 2021.

Di sana, cukai ke atas LVG yang dibawa masuk dikenakan pada kadar 7% ke atas barang bernilai tidak melebihi SGD400.

Sumber: Kastam