Malaysia tegas lindungi Selat Melaka dari campur tangan kuasa besar: Saifuddin

LocalPolitics
28 Apr 2026 • 12:58 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Malaysia tegas lindungi Selat Melaka dari campur tangan kuasa besar: Saifuddin

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan pendirian untuk terus mengawasi keselamatan Selat Melaka, laluan strategik perdagangan dunia, dan tidak akan membenarkan mana-mana kuasa besar membuat keputusan unilateral terhadap kawasan maritim kritikal itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pendirian tersebut selari dengan prinsip centrality (kepusatan) yang menjadi asas pendekatan Malaysia dalam konteks ASEAN, iaitu mengekalkan rantau ini sebagai zon aman, bebas dan berkecuali.

“Pendekatan ini dikenali sebagai centrality, ia bukan bermaksud kita tidak mempunyai pendirian tetapi kita menyatakan pendirian berdasarkan kepentingan negara,” katanya pada sidang media Program Jelajah Wira Madani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini.

Saifuddin menegaskan konflik di Asia Barat, khususnya melibatkan Selat Hormuz, memberi isyarat jelas kepada Malaysia mengenai kepentingan laluan perdagangan strategik dunia.

Katanya, Selat Hormuz merupakan laluan bagi kira-kira 20% bekalan tenaga dunia, manakala 80% perdagangan maritim global melalui Selat Melaka.

“Buat masa sekarang pendekatan kita adalah untuk berinteraksi dengan semua pihak bagi mengekalkan status quo keamanan yang kita rasai sekarang,” katanya sambil menambah Malaysia sentiasa peka terhadap kesan ketegangan geopolitik terhadap ekonomi, khususnya melibatkan laluan maritim utama dunia.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin menegaskan kerajaan komited memperkukuh keupayaan APMM menerusi penambahan aset strategik bernilai berbilion ringgit bagi menghadapi ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Beliau berkata antara perolehan utama termasuk dua Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) yang sedang dibina di Turkiye, masing-masing bernilai kira-kira RM400 juta, dengan satu daripadanya dijangka siap awal suku pertama tahun depan dan berpotensi menjadi tumpuan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027).

Katanya APMM juga akan menerima empat helikopter AW189 yang telah selesai proses perolehan dengan anggaran kos RM700 juta serta pembangunan Remote Sensor Site (RSS) atau Tapak Sensor Jarak Jauh di Sabah dengan nilai sekitar RM88 juta.

Ketegangan geopolitik di Asia Barat, khususnya di Selat Hormuz, telah menimbulkan kebimbangan bahawa sebarang gangguan terhadap laluan maritim boleh memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia.

Malaysia, sebagai negara yang mengawal sebahagian besar Selat Melaka, kini berada di barisan hadapan untuk memastikan laluan ini kekal selamat, bebas dan neutral. - 28 April, 2026

The post Malaysia tegas lindungi Selat Melaka dari campur tangan kuasa besar: Saifuddin appeared first on Scoop.