
KUALA LUMPUR - Malaysia kekal berdiri teguh bersama Pakistan dan Afghanistan, serta komuniti antarabangsa, dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan.
Memberikan jaminan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan komited memperkukuh semangat persaudaraan Islam, dan menyokong segala inisiatif ke arah keamanan serta kestabilan serantau.
Menurut beliau, ia termasuk rundingan damai yang sedang diusahakan di bawah kelolaan Kerajaan Qatar, bagi menangani konflik antara Pakistan dan Afghanistan.
“Lewat malam tadi, saya telah menghubungi Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, dan Pemangku Perdana Menteri Afghanistan, Mullah Mohammad Hassan Akhund.
“Panggilan ini bagi menyuarakan kebimbangan Malaysia terhadap peningkatan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara,” katanya.
Anwar berkata, beliau telah menegaskan kepentingan untuk mencari penyelesaian secara damai melalui saluran diplomasi dan dialog.
“Ini semua demi mengelakkan konflik berpanjangan yang hanya akan membawa kesengsaraan kepada rakyat, serta menjejaskan keamanan dan kestabilan rantau ini,” katanya.
Pada masa sama Perdana Menteri berkata, beliau turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam atas musibah banjir yang melanda Pakistan serta gempa bumi yang menggegarkan timur Afghanistan baru-baru ini.
BERNAMA sebelum ini melaporkan, Pakistan dan Afghanistan telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta selepas rundingan di Doha, Qatar.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar pada Ahad berkata, rundingan damai tersebut diusahakan dengan perantaraan Qatar dan Turkiye. - Getaran, 19 November 2025

