
KUALA LUMPUR - Malaysia tidak mengamalkan kapitalisme melampau, sebaliknya menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar dalam pelaksanaan pembangunan negara, kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Petra Group, Datuk Vinod Sekhar.
Beliau berkata, pelaburan hijau tidak berkembang melalui pendekatan ekstrem, tetapi memerlukan keselarasan antara dasar kerajaan, budaya masyarakat dan keperluan ekonomi.
“Modal semula jadi di Malaysia adalah nyata dan bukan bersifat teori.
“Negara ini tidak mencipta kelestarian, sebaliknya mengurus dan memelihara sistem semula jadi yang sedia ada,” katanya.
Vinod berkata demikian ketika ditemui di sela-sela Mesyuarat Agung Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.
Menurutnya, ekonomi berteraskan alam semula jadi akan menentukan landskap ekonomi global pada abad akan datang, dan turut menolak tanggapan bahawa kelestarian membawa pulangan pelaburan yang lebih rendah.
Beliau berkata, terdapat naratif mengelirukan yang menggambarkan kelestarian sebagai beban ekonomi, sedangkan pendekatan hijau boleh menjana pulangan mampan dalam jangka panjang.
Vinod turut menyifatkan ASEAN sebagai rantau pertumbuhan utama dunia, dengan Malaysia berperanan sebagai tonggak disokong rangka kerja perundangan yang stabil, bakat berbahasa Inggeris dan sistem kewangan yang matang.
“Jika ASEAN adalah masa depan, Malaysia ialah pintu masuknya, khususnya bagi pelaburan dari Global Selatan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Invest Sabah Berhad, Datuk Roger Chin berkata, cabang kelestarian Petra Group, Petra Seaga, sedang menilai pelaburan awal dianggarkan AS$300 juta atau kira-kira RM1.4 bilion di Sabah.
Beliau berkata, pelaburan tersebut melibatkan cadangan pembangunan kompleks biopenapisan bersepadu yang memanfaatkan sisa pertanian dan perhutanan bagi menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF), biofuel dan tenaga boleh diperbaharui.
Chin berkata, permintaan terhadap SAF di rantau ASEAN semakin meningkat sejajar dengan pertumbuhan sektor penerbangan, namun bekalan masih terhad.
Menurutnya, Sabah berpotensi memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan ini, sambil menegaskan semua projek pelaburan akan dinilai berdasarkan merit komersial, keperluan kawal selia dan prinsip kelestarian. - Getaran, 23 Januari 2026
