Malaysia teraju kesalinghubungan 5G, kata laporan Opensignal

5 Jul 2023 • 7:24 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Malaysia telah menjadi peneraju global dalam ketersambungan 5G dengan sokongan rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai, berdasarkan laporan kajian penanda aras Opensignal terkini yang bertajuk “Menanda Aras Pengalaman 5G Global - Jun 2023”.

Data dalam laporan itu menggariskan pencapaian cemerlang Malaysia dalam melaksanakan dan menyampaikan pengalaman 5G yang terbaik kepada pengguna.

Penyelidikan Opensignal menunjukkan bahawa rangkaian 5G Malaysia memberikan kelajuan dan kebolehpercayaan yang sangat baik, mengatasi prestasi banyak negara perindustrian dengan purata kelajuan muat turun 5G sebanyak 322.7 megabit sesaat (Mbps).

Malaysia berada di kedudukan keempat untuk purata kelajuan muat turun 5G di belakang Korea Selatan (432.5 Mbps), Singapura (376.8 Mbps) dan Brazil (346.4 Mbps).

Secara keseluruhan, terdapat hanya tujuh pasaran yang mana purata kelajuan 5G adalah melebihi 300 Mbps.

Teknologi rangkaian 5G baharu terus menawarkan pengguna kelajuan muat turun purata dunia sebenar yang sangat baik yang berkali ganda lebih pantas daripada purata kelajuan muat turun 4G.

Di Malaysia, 5G adalah 14.4x lebih pantas berbanding 4G yang meletakkan kedudukan negara ini kedua di belakang India (19.2x).

Pengguna di kebanyakan pasaran hanya menikmati kelajuan 5G yang tiga hingga enam kali lebih pantas daripada 4G.

Rangkaian 5G Malaysia juga menawarkan kelajuan muat naik purata yang mengagumkan sebanyak 41.5 Mbps, memastikan perkongsian data serta kandungan yang pantas dan cekap.

Negara ini menduduki tempat ketiga untuk kelajuan muat naik 5G, di belakang Korea Selatan (42.0 Mbps) dan Guatemala (42.0 Mbps). -Bernama