‘Malaysia terhutang budi atas jasamu, selamat jalan Pak Lah’ – Anwar

LocalPolitics
15 Apr 2025 • 9:24 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Pemergian mantan Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi dirasai oleh segenap lapisan masyarakat dan juga pemimpin-pemimpin. Jasa dan sumbangan beliau dikenang sehingga ke hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Tun Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Pak Lah sebagai seorang individu yang menyenangkan serta seorang pemimpin yang berjiwa besar.

“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung.

“Pak Lah tidak sekadar pemimpin, malah merupakan seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia. Dengan pendekatan Islam Hadhari, beliau menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai,” katanya.

Reformasi bidang kehakiman

Tambah beliau, semasa era kepimpinan Pak Lah, satu reformasi bidang kehakiman dilaksanakan.

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook itu, beliau juga menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Tun Jeanne, Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau

“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi.

“Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga ruh allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” ujarnya.