
IPOH: Malaysia dijangka turut menerima tempias krisis yang menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz, namun impaknya tidak seteruk negara yang bergantung sepenuhnya kepada import minyak dan gas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, gangguan terhadap sektor tenaga di Selat Hormuz boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta pelbagai sektor industri, termasuk di Malaysia.
Beliau berkata, meskipun Malaysia merupakan pengimport bersih minyak, negara masih mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport bersih gas, sekali gus membantu mengimbangi kesan terhadap ekonomi domestik.
“Selat Hormuz berkait rapat dengan sektor tenaga. Apabila sektor tenaga terjejas, kesannya akan dirasai oleh semua industri.
“Malaysia ialah pengimport bersih minyak, tetapi kita masih pengeksport bersih gas. Sebab itu kita akan menerima tempias seperti negara lain, namun kesannya tidak seteruk negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Invest in Perak Day 2026, di sini hari ini.
Johari mengulas kemungkinan kesan terhadap Malaysia susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyatakan hasrat untuk mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kestabilan laluan perdagangan tenaga global.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, dengan sebahagian besar eksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global melalui kawasan itu. Sebarang gangguan terhadap laluan berkenaan lazimnya memberi tekanan kepada harga tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa. – BERNAMA
The post Malaysia terkesan krisis Selat Hormuz, namun impak lebih terkawal appeared first on Utusan Malaysia.
