Malaysia teroka kerjasama dengan India dalam bidang perubatan, TVET

4 Apr 2023 • 9:48 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Malaysia menerusi Kementerian Sumber Manusia sedang meneroka kerjasama strategik dengan India dalam bidang rawatan perubatan alternatif untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Menteri Sumber Manusia V.Sivakumar (gambar) yang mengadakan lawatan kerja empat hari ke India bermula Sabtu lepas berkata, lawatannya ke Chennai dan New Delhi adalah dengan misi mempelopori kerjasama dalam bidang rawatan perubatan alternatif untuk pesakit barah melibatkan Perkeso dan Apollo Cancer Centre di Chennai.

“Rawatan alternatif itu menggunakan teknologi ‘proton’ yang ingin diguna pakai oleh Perkeso bagi menyokong khidmat rehabilitasi sedia ada. Rawatan oleh teknologi ‘proton’ tidak mempunyai kesan sampingan kepada pesakit barah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Perkeso juga bercadang untuk mewujudkan dan menawarkan khidmat modulasi neuro untuk rawatan kecederaan antaranya saraf tunjang, strok dan masalah neurologi seperti epilepsi dan Parkinson.

“Setakat ini, Perkeso hanya menawarkan khidmat rehabilitasi yang mengambil masa yang lama untuk proses pemulihan,“ katanya, dan menambah ia boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Hospital IBS di New Delhi.

Sivakumar turut menyaksikan pertukaran memorandum kerjasama di antara TalentCorp dan National Skills Development Corporation, India di New Delhi semalam yang menyediakan platform kerjasama dalam bidang peningkatan kemahiran termasuk TVET. - Bernama