Malaysia, UAE meterai MoU pelaburan pusat data, erat komitmen pelaburan sektor digital
herman
26/01/2024 - 09:43
KUALA LUMPUR 26 Jan - Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjalinkan perkongsian strategik untuk membangunkan pusat data di negara ini yang berpotensi mencapai jumlah kapasiti 500 megawatt.
Untuk tujuan itu, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Malaysia dan Kementerian Pelaburan UAE di Abu Dhabi semalam.
Mewakili Malaysia dalam majlis MoU itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz manakala UAE pula diwakili Menteri Pelaburannya, Mohamed Hassan Alsuwaidi.
MITI berkata, MoU itu mewakili komitmen yang kukuh ke arah kerjasama padu dalam pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam sektor infrastruktur digital antara Malaysia dan UAE selain bertujuan memupuk hubungan ekonomi serta pelaburan dua hala yang lebih erat antara orang awam dan sektor swasta kedua-dua negara.
"Malaysia telah muncul sebagai destinasi pilihan untuk pusat data di Asia Tenggara berikutan infrastruktur digital dan fizikalnya yang kukuh, kedaulatan undang-undang serta langkah dan inisiatif yang disokong kerajaan yang menarik mengenai pelaburan pusat data," kata MITI dalam kenyataan.
Menurut MITI, permintaan yang semakin meningkat daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau akan memberi dorongan kepada status Malaysia yang semakin meningkat sebagai pemain serantau yang penting dalam ekonomi digital.
"MoU tersebut juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk memajukan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang bertujuan meningkatkan kapasiti industri, PKS dan syarikat pemula niaga dalam AI dan membangunkan penyedia penyelesaian AI," kata MITI.

Menurut MITI, MoU itu menjadi bukti kepada hubungan perdagangan yang kukuh antara Malaysia dan UAE dengan pertumbuhan ketara dalam volum perdagangan bukan minyak.
Ketika ini, UAE ialah rakan dagangan kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dan Malaysia adalah pemain utama dalam eksport dan eksport semula UAE di rantau ASEAN.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, kerjasama infrastruktur digital Malaysia dengan UAE dengan tumpuan kepada pusat data akan membantu mengukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan digital.
“Dengan menjadi hab pusat data serantau, Malaysia berada pada kedudukan baik untuk menguasai sebahagian besar ekonomi digital ASEAN, diunjur mencecah AS$1 trilion (RM4.7 trilion) menjelang tahun 2030.
“MITI dan agensinya berazam untuk mempercepatkan pelaksanaan semua pelaburan komited supaya pelabur, perniagaan dan rakyat Malaysia meraih faedah daripada ekonomi digital yang lebih mantap dan berkembang maju dalam Malaysia dan ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Hassan Alsuwaidi berkata, kerjasama berkenaan bukan sahaja meningkatkan hubungan dua hala sedia ada antara kedua-dua negara tetapi juga berusaha untuk memanfaatkan potensi luas Malaysia sebagai pilihan utama untuk lokasi pusat data di rantau Asia-Pasifik.
“Sebagai hab data yang sedang berkembang pesat di Asia Tenggara, pengaturan itu bertujuan untuk memperkukuh infrastruktur digital negara dan mempercepatkan pengembangan ekonomi Internetnya, seiring dengan keutamaan dan kepentingan bersama,” jelasnya.- DagangNews.com

