Malaysia Ulangi Pendirian Bantu Palestin, Jalin Kerjasama Dengan Mesir

15 Feb 2025 • 3:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri ketika menghubungi Presiden Abdel Fattah El-Sisi hari ini - Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Malaysia mengulangi pendirian untuk terus membantu rakyat Palestin, khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen berkenaan dinyatakan menerusi perbualan telefon bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi hari ini.

Menurut beliau, antara lain perbincangan mereka menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.

“Saya mengulangi pendirian Malaysia untuk terus membantu rakyat Palestin terutama membabitkan bantuan kemanusian dan perubatan serta pembangunan semula, di samping tekal menyokong perjuangan menuntut keadilan buat Palestin,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Jelas Perdana Menteri, beliau dan El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha ‘menghalau’ rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza. 

“Langkah ini bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka,” tegasnya.

Anwar memberitahu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pendirian El-Sisi dan Kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin. 

“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD). 

“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banya negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” katanya. 

Menerusi perbualan sama, Perdana Menteri dan El-Sisi juga sempat berbincang mengenai hubungan dua hala kedua negara. 

“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” katanya. - Getaran, 15 Februari 2025