Malaysia zahirkan sokongan kepada UAE susulan ketegangan di Asia Barat

LocalPolitics
6 Mar 2026 • 11:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar menyatakan simpati dan sokongan Malaysia kepada UAE sewaktu perbualan telefon dengan Presiden Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan simpati dan sokongan Malaysia kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut terkesan akibat tindakan balas Iran susulan serangan Israel bersama Amerika Syarikat (AS).

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata, perkara itu dizahirkan sewaktu perbualan telefon dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

Anwar berkata, dalam perbualan tersebut, kedua-dua pemimpin bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau Asia Barat, khususnya situasi keselamatan serantau berikutan konflik yang melibatkan Israel, AS dan Iran.

"Kami senada menzahirkan harapan agar semua pihak mengutamakan pendekatan damai serta mengelak sebarang tindakan yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan sejagat.

"Saya turut menghargai komitmen kerajaan UAE untuk menjamin keselamatan dan kebajikan kira-kira 10,000 rakyat Malaysia yang kini berada di UAE,” katanya.

Anwar turut berharap agar bulan Ramadan yang mulia ini memperkukuh kesatuan ummah serta membuka ruang kepada keamanan dan kestabilan yang lebih berkekalan di rantau itu dan dunia.

Ketegangan di Asia Barat meningkat apabila AS dan Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lepas ke atas Iran, dengan Israel menyifatkannya sebagai "serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi "menghapuskan ancaman”. - Bernama