Malaysian Genomics, Toticell jalin kerjasama strategik edar produk di Bangladesh
diyana
15/05/2023 - 18:09
KUALA LUMPUR 15 Mei - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) telah memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Toticell Limited (Toticell) untuk pengedaran produk kumpulan di Bangladesh.
Toticell, yang berpangkalan di Dhaka, Bangladesh, merupakan pakar dalam penjagaan kesihatan regeneratif yang memfokuskan kepada rawatan penjagaan muskuloskeletal seperti arthritis, kecederaan berkaitan sukan dan tendinopati.
Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam pengedaran produk kosmetik Malaysian Genomics, ujian saringan genetik, perkhidmatan terapi sel T CAR dan bidang lain yang mempunyai kepentingan komersial bersama.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata Bangladesh mewakili pasaran dan peluang yang sangat luas memandangkan populasinya kira-kira 165 juta orang.

“Ekonomi Bangladesh merupakan kedua terbesar di Asia Selatan, berkembang pesat dan diakui oleh Goldman Sachs Inc. sebagai salah satu Next Eleven, bersama-sama dengan ekonomi BRICS untuk potensi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Malaysian Genomics, Azri Azerai menambah bahawa kerjasama tersebut selaras dengan pelan pengembangan strategik kumpulan yang merangkumi kepelbagaian geografi dan global.

Pada April lepas, kumpulan tersebut telah mencapai kemajuan dalam mewujudkan perkongsian berikutan pemeteraian perjanjian kerjasama strategik dengan beberapa pihak di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), iaitu American Spine Centre (ASC); BALSAM Health Services; Wellness by Design FZ LLC dan Sharjah, yang menyelaras dan membangunkan perkongsian.
Selain itu, baru-baru ini Malaysian Genomics telah melantik Aswath Ramakrishnan sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif baharunya.
Beliau adalah seorang peguam berpengalaman yang terlibat dalam litigasi komersial, perkapalan dan maritim, fitnah, litigasi korporat dan insolvensi, pemulihan aset dan hutang, litigasi harta intelek, timbang tara dan pertikaian rentas sempadan. -DagangNews.com
