MALBATT 850-12 sumbang 48 kambing, erat hubungan dengan komuniti setempat

7 Jun 2025 • 5:54 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pasukan Batalion Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-12 melaksanakan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Kem Marakah, Selatan Lubnan, sebagai usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti tempatan selaras dengan semangat Civil Military Cooperation (CIMIC) di bawah misi pengaman UNIFIL.

Program yang dikendalikan oleh anggota MALBATT itu turut menyaksikan penglibatan aktif dalam keseluruhan proses penyembelihan, penyediaan, dan agihan daging korban.

image is not available

Kredit Foto: FB MALBATT 850-12

image is not available

Kredit Foto: FB MALBATT 850-12

MALBATT 850-12 sumbang 48 kambing

Menurut kenyataan yang dikeluarkan MALBATT, pelaksanaan program berkenaan bukan sahaja memperkukuh ukhuwah sesama anggota, malah memperlihatkan nilai perpaduan dan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan warga pasukan.

“Program ibadah korban yang dilaksanakan ini bukan sekadar usaha menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tetapi secara tidak langsung mencerminkan komitmen berterusan MALBATT dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat tempatan selaras dengan semangat misi pengaman UNIFIL,” jelas kenyataan itu.

image is not available

Kredit Foto: FB MALBATT 850-12

Kenyataan sama turut memaklumkan bahawa sebanyak 48 ekor kambing telah dikorbankan dalam program berkenaan. Daripada jumlah itu, 26 ekor disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan Takaful Marakah dan wakil penduduk Kafr Shuba untuk diagihkan kepada komuniti setempat yang memerlukan.

image is not available

Kredit Foto: FB MALBATT 850-12

image is not available

Kredit Foto: FB MALBATT 850-12

Program tersebut turut memberi peluang kepada anggota untuk menyertai proses penyembelihan secara langsung, memberikan pengalaman yang lebih bermakna kepada mereka.

“Pengalaman ini memberikan penghayatan yang lebih mendalam terhadap erti pengorbanan serta nilai keikhlasan dalam beribadah,” menurut kenyataan itu lagi.

Majlis korban turut dimeriahkan dengan aktiviti memasak secara bergotong-royong dan diakhiri dengan jamuan Aidiladha yang berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan keharmonian antara anggota dan penduduk setempat.

Sumber: BERNAMA