
KUALA LUMPUR - Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman diumumkan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang baharu, berkuatkuasa esok.
Menteri Pertahanan, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, pelantikan Malek Razak telah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut beliau, pelantikan itu dibuat selaras dengan syor Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri ke-633 (Khas) yang bersidang pada 29 Januari.
“Ia mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari (semalam),” katanya hari ini.
Serentak dengan itu jelas Khaled, Malek Razak dinaikkan ke pangkat Jeneral.
Beliau memberitahu, Malek Razak memiliki kelulusan Diploma Strategik dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Master of Arts in Defence Studies dari King's College London serta Sarjana Sains Sosial (Pengajian Pertahanan) dari UKM.
“Perkhidmatan beliau bermula pada tahun 1985 sebagai Pegawai Kadet Luar Negara di Royal Military College, Sandhurst, United Kingdom, dan telah ditauliahkan pada 11 Disember 1987 dengan pangkat Leftenan Muda.
“Sepanjang hampir 40 tahun perkhidmatan, beliau telah mempamerkan kebolehan, keupayaan, kecemerlangan serta kepimpinan yang tinggi,” katanya.
Getaran diberitahu, Malek Razak memulakan kerjaya sebagai Ketua Platun di Batalion ke-21 Rejimen Askar Melayu Diraja, sebelum berkhidmat di pelbagai pasukan.
Beliau juga menyandang pelbagai jawatan di peringkat pemerintah dan staf sepanjang berkhidmat.
Khaled berkata, kementerian optimis pelantikan Malek Razak akan memperkukuh kepimpinan dan keupayaan ATM dalam mendepani cabaran pertahanan negara, berdasarkan pengalaman luas serta kredibiliti yang beliau miliki.
“Pelantikan ini juga diyakini akan memulihkan dan memperkukuh wibawa ATM melalui kepimpinan yang berteraskan integriti dan profesionalisme, serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara,” katanya. - Getaran, 31 Januari 2026
